BARISAN pelakonnya terdiri daripada nama-nama besar.
BARISAN pelakonnya terdiri daripada nama-nama besar.
Georgie Joseph

(Yang menemu bual pengarah Korea Selatan, Hwang Dong-hyuk, baru-baru ini)

PERMAINAN zaman kanak-kanak semestinya kerap mengimbau kenangan manis ketika kecil.

Itulah keseronokan yang tidak akan dapat dilupakan selamanya.

Mengambil inspirasi daripada permainan kanak-kanak, pengarah Korea Selatan, Hwang Dong-hyuk tampil dengan drama terbaharu berjudul Squid Game.

Bunyinya menyeronokkan, namun hakikatnya ia bukan naskhah lucu atau ringan.

Sebaliknya, Dong-hyuk yang turut menulis karya itu menukar konsep permainan kanak-kanak kepada 'brutal' atau ganas dan membabitkan nyawa. Elemen gelap dan tegang menjadi tunjang kepada naskhah itu.

Menerusi temu bual bersama RAP baru-baru ini, pengarah hebat itu menjelaskan dia sengaja mengambil inspirasi masa kecilnya biarpun kedengaran merapu.

Dia mahu menggambarkannya dalam situasi di luar jangkaan.

"Memang saya sengaja memilih permainan kanak-kanak yang nampak merapu di mata ramai. Ini kerana kenangan permainan itulah yang takkan pernah lekang dalam ingatan kita sampai bila-bila.

"Permainan yang dipilih dalam Squid Game pun adalah permainan kegemaran saya. Bagaimanapun, semestinya ia permainan yang senang untuk difahami oleh penonton di seluruh dunia.

"Bagaimanapun ia bukan pengalaman manis atau seronok, sebaliknya ditukar kepada pertarungan hidup dan mati. Konsep 'brutal' dalam permainan itu bakal mengubah perspektif penonton," katanya kepada RAP.

Menampilkan pelakon hebat seperti Lee Jung-jae, Park Hae-soo, Wi Ha-jun, Jung Ho-yeon dan Heo Sung-tae, pemilihan itu jelas cukup menarik.

Menurut Dong-hyuk, kriteria dicarinya dalam tunjang utama Squid Game itu cukup tepat, misalnya Jung-jae sebagai teraju utama.

SQUID Game cukup mendebarkan dan bukan karya klise.
SQUID Game cukup mendebarkan dan bukan karya klise.

Akuinya, pelakon berkaliber itu memang paling sempurna dalam fikirannya.

"Saya memang mahukan Jung-jae kerana selama ini lakonannya cukup kuat dalam setiap drama dibintangi. Dia kerap tampil dengan watak yang tampak gagah dan berani.

"Bagaimanapun, wataknya dalam Squid Game berbeza sama sekali. Saya sengaja menukar dia menjadi seorang lelaki yang lemah dan tewas dengan dugaan hidup," katanya.

Perkara itu turut diakui Jung-jae di mana dia sendiri tertarik dengan kekuatan naskhah itu.

Katanya, dia tiada alasan untuk menolak apatah lagi Dong-hyuk adalah pengarahnya.

"Alasan terkuat saya untuk terbabit dalam drama Squid Game adalah pengarahnya. Memang dari dulu saya sentiasa berbesar hati mahu bekerja bersama Dong-hyuk.

RATUSAN individu sanggup menggadai nyawa demi hadiah wang tunai lebih RM160 juta.
RATUSAN individu sanggup menggadai nyawa demi hadiah wang tunai lebih RM160 juta.

"Menerusi drama itu, saya tahu bakal mendapat kepuasan maksimum kerana percaya dengan sentuhannya. Sejujurnya saya bersyukur dapat membawa watak utama dalam karya yang cukup segar itu," katanya.

Dalam pada itu, Hae-soo pula mendedahkan jalan cerita drama itu adalah tarikan penting untuk dia setuju membintanginya. Keseluruhan konsepnya begitu mengujakan dirinya.

"Sewaktu diberitahu mengenai konsep ceritanya, saya serta-merta tahu ia adalah naskhah yang cukup hebat. Konsep permainan kanak-kanak dalam jalan cerita tidak dijangka buat kita ingin tahu lebih lanjut.

"Saya semakin teruja apabila sepanjang penggambarannya juga dibuat begitu teliti dan sempurna. Saya pastinya menyesal jika tidak menerima tawaran lagi-lagi ia naskhah sentuhan Dong-hyuk," katanya.

Squid Game mula disiarkan menerusi platform penstriman video Netflix pada 17 September lalu selama sembilan episod. Ia merungkai kisah ratusan individu terdesak mencari wang demi memperbaiki kehidupan.

Ia sekali gus menjadi alasan sebuah organisasi untuk mengambil kesempatan terhadap kesempitan hidup dialami.

Mereka direkrut menyertai permainan yang menawarkan hadiah wang tunai lebih RM160 juta.

Tanpa diketahui, permainan itu bukan permainan biasa dan sebenarnya cukup ganas. Pelbagai insiden menyusul selepas itu apabila ada yang memberontak, saling membunuh dan cuba melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 6:30 AM