LEE Jung Jae (kanan) dan Jung Ho Yeon.
LEE Jung Jae (kanan) dan Jung Ho Yeon.
Agensi

California: Siri Netflix, Squid Game mencipta sejarah apabila dua pelakonnya iaitu Lee Jung Jae dan Jung Ho Yeon masing-masing memenangi anugerah Pelakon Persembahan Terbaik Drama Bersiri untuk kategori lelaki dan wanita pada acara SAG Awards 2022.

Kemenangan itu juga istimewa kerana kedua-dua anugerah itu buat pertama kali dimenangi oleh pelakon Korea selain menjadi artis Asia pertama menggondol kedua-dua anugerah itu.

"Terima kasih dan ini adalah satu kemenangan besar. Saya ada tulis sesuatu, tapi, saya tak rasa saya boleh membacanya. 

"Terima kasih SAG Awards. Terima kasih kepada penonton yang menyokong Squid Game dan terima kasih kepada seluruh pasukan Squid Game," kata Lee Jung Jae.

Sementara itu, Jung Ho Yeon pula menggambarkan kemenangan itu umpama mimpi yang menjadi kenyataan.

"Pertama sekali, terima kasih. Selama ini, saya hanya menjadi penonton dan melihat pelakon hebat di kaca TV.

"Saya bercita-cita, satu hari nanti, saya ingin menjadi pelakon. Terima kasih kerana menjadikan impian saya satu kenyataan dan membuka pintu untuk saya. Saya sayangkan semua pasukan kru Squid Game!" katanya.

Selain dua anugerah yang dimenangi oleh pelakon-pelakon itu, SAG Awards 2022 yang berlangsung di Santa Monica, California, Amerika Syarikat (AS) itu juga menyaksikan Squid Game memenangi anugerah Persembahan Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik Drama TV, sekali gus mengalahkan beberapa calon lain iaitu Cobra Kai, The Falcon and the Winter Soldier, Loki dan Mare of Easttown.

Squid Game sebelum ini mencatat sejarah apabila tercalon dalam empat kategori di SAG Awards 2022 dan menjadi siri bukan berbahasa Inggeris pertama yang tercalon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 4:52 PM