Jung Ho Yeon
Jung Ho Yeon
Agensi

Seoul: Penurunan berat badan pelakon Squid Game, Jung Ho Yeon, 27, merisaukan ramai selepas penampilan terkininya dilihat muka terlalu cengkung dan tubuh mendadak kurus.

Ia berikutan perkongsiannya menerusi Instagram ketika menggayakan beberapa penampilan untuk acara-acara dihadirinya.

Jung Ho Yeon sebelum ini memiliki berat badan 49 kilogram, namun dikhabarkan semakin turun. Dia dilaporkan hilang empat kilogram dek kesibukan mendadak selepas kejayaan Squid Game.

Sekali gus, peminat menzahirkan rasa bimbang mengenai kesihatannya. Rata-rata memintanya agar cuba dapatkan makan yang cukup.

Ini disebabkan, Jung Ho Yeon yang juga seorang model pernah mendedahkan jadual seninya semakin sibuk sehingga menjejaskan waktu makannya.

"Berat badan saya memang turun mendadak. Semua pakaian yang awalnya saya muat semakin longgar selepas saya ke Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Meskipun 2021 sudah hampir menutup tirai, kesibukan jadual seninya masih padat dan tidak pernah surut. 

Terdahulu, Jung Ho Yeon mencetuskan fenomena selepas membintangi Squid Game yang cukup digilai seluruh dunia. Sejak itu, dia mengelilingi dunia dengan pelbagai tawaran termasuk juga peragaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 11:07 AM