Patung Young-hee diletakkan di luar pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang.
Patung Young-hee diletakkan di luar pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang.

Kuala Lumpur: Pengarah, penulis, dan penerbit eksekutif Squid Game, Hwang Dong-hyuk mengumumkan siri kegilaan dunia itu bakal kembali untuk musim kedua secara eksklusif di Netflix.

Pengumuman itu dibuat semalam di sebuah acara Netflix di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) di mana dia turut memberi bayangan mengenai kemunculan karakter baharu pada musim baharu itu.

"12 tahun masa diambil untuk menghidupkan Squid Game musim pertama pada tahun lalu. Tapi ia hanya mengambil masa 12 hari untuk Squid Game menjadi siri paling popular di Netflix.

"Selaku pengarah, penulis, dan penerbit Squid Game, saya ingin beri ucapan kepada peminat di seluruh dunia. Terima kasih kerana menonton dan menyukai siri kami.

"Sekarang, Gi-hun kembali. 'Front Man' kembali. Musim kedua akan datang. Lelaki berpakaian sut dengan 'ddakji' mungkin kembali. Kamu akan dikenalkan dengan teman lelaki Young-hee, Cheol-su," katanya.

Bagi memperingati kedatangan musim baharu Squid Game, patung ikonik dalam siri itu, Young-hee diletakkan di luar pusat beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, di sini, dari jam 9 pagi hingga 11 malam hari ini.

Siri berkenaan yang dibintangi pelakon tersohor Korea Selatan, Lee Jung-Jae dan Park Hae-Soo mencetuskan fenomena luar biasa pada tahun lalu. Bahkan, siri itu turut mendapat pengiktirafan tertinggi di barat.

Squid Game berkisar pertarungan 456 peserta yang mendapat jemputan bertanding merebut wang sebanyak 45.6 billion won (RM1.6 juta). Bagaimanapun, mereka tidak tahu permainan disertai sangat berbahaya dan membabitkan nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 2:41 PM