JUNG Jae akan tampil dalam The Acolyte, namun watak belum didedahkan.
JUNG Jae akan tampil dalam The Acolyte, namun watak belum didedahkan.
Najiy Jefri

ANNYEONGHASEYO! Kehebatan pelakon senior Lee Jung Jae tidak disangkal begitu luar biasa. Dia menjadi antara pelakon terbaik di Korea Selatan sehingga hari ini.

Bukan setakat di negara sendiri mahupun Asia, kemampuan lakonannya turut mendapat perhatian di Hollywood. Apatah lagi selepas namanya kian memuncak di seluruh dunia kerana membintangi siri fenomena Squid Game.

Terbaharu, Jung Jae dilaporkan bakal terbabit dengan produksi kisah ikonik Star Wars pula. Dia disahkan membintangi watak utama dalam siri Star Wars berjudul The Acolyte yang akan ditayangkan di Disney+.

Siri terbabit turut menampilkan beberapa nama besar dari seluruh dunia baik dalam produksi mahupun barisan pelakonnya. Semestinya siri itu pasti menjanjikan fenomena tersendiri.

Turut membintanginya ialah Amandla Stenberg yang menjadi teraju utama wanita. Manakala Jodie Turner-Smith dan pencipta siri Russian Doll, Leslye Headland bertindak sebagai penulis, pengarah dan penerbit eksekutif.

The Acolyte akan membawa penonton kembali ke era lebih ke belakang berbeza daripada ditunjukkan dalam sekuel Star Wars sebelum ini.

Menurut laporan Variety, ia berlatarbelakangkan abad terdahulu dari Star Wars: The Phantom Menace. Bagaimanapun, ia masih digambarkan dalam penceritaan serta produksi yang cukup gah.

"Ia akan menggambarkan galaksi ketika kegemilangan High Republic. Ketika itu, Jedi berada pada tahap tertinggi dan memiliki kekuatan yang sangat luar biasa.

"Manakala, Sith pula dipercayai disingkirkan daripada terus berada dalam galaksi berkenaan," katanya.

Walaupun watak Jung Jae dalam siri itu belum didedahkan, namun penerimaan ramai terhadap pembabitannya jelas sangat memberangsangkan. Mana tidak, lakonannya tidak pernah mengecewakan.

Sudah tiga dekad berada dalam bidang lakonan, Jung Jae tidak asing lagi menerima pelbagai pengiktirafan. Antara yang terbaru adalah Pelakon Lelaki Terbaik di Screen Actors Guild Awards dan Critics' Choice TV Awards menerusi lakonannya dalam Squid Game.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 6:35 AM