Rashid Sibir
Rashid Sibir
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Jumlah peruntukan sebanyak RM188 juta untuk industri kreatif membabitkan Dana Kandungan Digital (DKD), projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan dan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini dianggap tidak mencukupi selepas industri berkenaan hampir lumpuh akibat pandemik Covid-19.

Penerbit dan pengarah, Rashid Sibir berkata, jumlah peruntukan itu seharusnya lebih tinggi kerana ia bukanlah bantuan tambahan.

"Saya menyanjung tinggi keprihatinan kerajaan terhadap industri kreatif. Saya selaku pemain industri menerima dan mengalu-alukan keprihatinan itu. Selepas berlakunya pandemik Covid-19 yang menghancurkan hampir keseluruhan bidang kerja dalam industri ini, diharapkan agar kerajaan dapat menambah sekurang-kurangnya RM300 hingga RM500 juta untuk menghidupkan semula industri ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, industri kreatif terbahagi kepada banyak cabang dan pelbagai sektor kerajaan sekali gus menganggap jumlah yang diperuntukkan itu begitu kecil.

"Cabang dalam industri kreatif ini ada banyak. Ada filem, drama, teater dan banyak lagi. Sektor pekerjaannya juga meluas dan membabitkan ramai tenaga kerja. Saya tak tahu bagaimana jumlah RM188 juta itu akan dibahagikan kepada banyak sektor ini dan saya rasa, jumlah itu tidak akan mencukupi.

"Industri kreatif kita bukan seperti Hollywood. Kita sememangnya memerlukan bantuan daripada kerajaan untuk menyokong dan menghidupkan semula selepas jatuh merudum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 6:42 PM