Presiden Gafema, Pansha
Presiden Gafema, Pansha
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) yang mewakili tujuh persatuan seni utama industri perfileman tempatan menyambut baik Belanjawan 2024.

Mereka juga berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas keprihatinan kerajaan bagi memperkasakan pembangunan ekonomi Industri Perfileman Malaysia seiring kemajuan ekonomi negara.

Gafema diwakili Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM); Persatuan Seniman Malaysia (Seniman); Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Kebajikan Penghibur-Penghibur India Malaysia (Mewa).

Gabungan turut disertai Persatuan Kandungan Kreatif Malaysia (CCAM); Persatuan Pasca Produksi, Animasi dan Kandungan Kreatif Malaysia (Postam) serta Persatuan Animasi Malaysia (Animas).

Presiden Gafema, Pansha berkata, pihaknya yakin dan percaya, Belanjawan 2024 akan merangsang pertumbuhan industri kreatif negara.

Menurutnya, pada masa sama, industri kreatif juga menyokong industri lain secara keseluruhan yang berkaitan.

"Kefahaman Perdana Menteri berkaitan aktiviti seni budaya bukan sekadar hiburan adalah sangat dikagumi bagi membantu memelihara, melestari dan menyebarkan warisan budaya dalam masyarakat," katanya dalam kenyataan.

Tambah Pansha, pelbagai insentif menarik Belanjawan 2024 akan memberi manfaat dalam mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan ke peringkat lebih tinggi.

"RM60 juta peruntukan di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan secara langsung mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam negara dalam pelbagai pekerjaan seperti artis, pengarah filem, kru belakang tabir dan banyak lagi.

"Peruntukan RM90 juta di bawah insentif Film in Malaysia Incentive (Fimi) akan terus menggalakkan penghasilan filem tempatan bertaraf antarabangsa. Fimi menjadikan Malaysia sebagai hab destinasi penggambaran antarabangsa.

"Pindaan menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara sifar hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru secara langsung menarik minat kemasukan produksi filem asing membuat penggambaran di Malaysia.

"Selain itu, pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas, acara hiburan seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan di Selangor dan Wilayah Persekutuan, harus dicontohi negeri lain yang mengenakan duti hiburan.

"Kadar 25 peratus duti hiburan sedia ada yang terpaksa ditanggung rakyat adalah antara duti hiburan tertinggi di dunia," katanya.

Selain itu, Pansha turut menghargai usaha kerajaan menganjurkan semula Anugerah Seni Negara sebagai acara tahunan. Bagi Gafema, ini memberi makna kerajaan menghargai jasa serta sumbangan penggiat seni kepada negara.

"Usaha kerajaan mengembalikan penganjuran Anugerah Seni Negara secara tahunan bagi mengiktiraf dan memberi penghargaan tahap tertinggi kepada tokoh, penggiat seni, budaya dan warisan, sangat dihargai," katanya.

Pansha turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan menterinya, Fahmi Fadzil.

"Gafema juga berterima kasih di atas usaha serta keprihatinan Fahmi dan timbalan menteri, Teo Nie Ching serta warga KKD yang tidak jemu-jemu mendengar rintihan penggiat seni.

"Bergabung dan merancang dengan lebih proaktif, demi pemeliharaan budaya, pemerkasaan masyarakat, pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi industri secara keseluruhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 12:40 PM