USAMAH Zaid. FOTO Arkib NSTP
USAMAH Zaid. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Peruntukan sebanyak RM30 juta melalui Skin Padanan Pinjaman Pelaburan bagi inisiatif Platform Animasi Negara yang akan dikendalikan MyCreative Ventures dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini akan membantu meringankan beban industri animasi selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan Wau Animation Sdn Bhd yang menerbitkan filem animasi Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin berkata, peruntukan itu menunjukkan usaha dan kerja keras mereka mula membuka mata banyak pihak.

"Kami berbesar hati dengan peruntukan yang diberikan bagi meringankan beban selepas pandemik Covid-19 ini.

"Kami harap ia akan membantu memulihkan semula industri dari masa ke semasa dan membawa kita semua untuk mencipta kejayaan yang lebih besar di masa akan datang," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Mohd Radzi menyarankan kerajaan memberi insentif kepada stesen TV untuk membeli produk animasi tempatan dengan harga yang lebih bersesuaian.

"Sekarang, untuk hasilkan satu episod animasi kosnya mencecah RM30,000 hingga RM40,000. Namun, harga yang dibeli stesen TV untuk satu episod setengah jam hanya RM10,000. Itu tidak berbaloi langsung," katanya yang juga penerbit siri animasi popular Upin dan Ipin .

Katanya, inisiatif Platform Animasi Negara yang akan dikendalikan MyCreative Ventures itu juga secara tidak langsung akan menjadi hutang yang akan membebankan studio-studio animasi.

"Apabila diletakkan di bawah MyCreative Ventures, itu menjadi hutang dan siapa yang berani mengambil risiko berhutang untuk hasilkan karya animasi. Studio-studio baru nak ambil pinjaman, tapi kalau stesen TV tempatan tak beli, macam mana produk nak dikenali? Kalau nak jual di luar negara, mereka nak lihat dahulu 'rating' produk animasi itu dalam negara," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi mengetengahkan lebih banyak produk animasi tempatan ke peringkat antarabangsa.

Katanya, peruntukan itu melalui Skim Padanan Pinjaman Pelaburan bagi inisiatif Platform Animasi Negara yang akan dikendalikan oleh MyCreative Ventures.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:19 PM