DIHARAPKAN Bajet 2023 dapat membantu lebih ramai penggiat seni untuk merancakkan semula aktiviti industri kreatif. FOTO Arkib NSTP
DIHARAPKAN Bajet 2023 dapat membantu lebih ramai penggiat seni untuk merancakkan semula aktiviti industri kreatif. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri

Kebimbangan kenaikan tiga kali Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahun ini dan kejatuhan nilai Ringgit semestinya memberi tekanan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Justeru, Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Jumaat ini antara pengisytiharan yang ditunggu-tunggu bagi melihat sejauh mana kerajaan memandang serius dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi.

Pelbagai pihak sama ada rakyat dan pemain industri hiburan sudah tidak sabar untuk mengetahui insentif dan inisiatif baharu yang akan memberi kelegaan dan faedah kepada setiap sektor termasuk industri kreatif.

Jika tahun lalu kerajaan memperuntukkan RM188 juta untuk pelbagai inisiatif dalam merancakkan industri kreatif, kini penggiat seni tidak sabar menanti 'magis' baharu yang bakal diumumkan untuk terus merancakkan sektor kreatif, seni dan budaya.

Melihat peruntukan yang diberikan kerajaan pada Bajet 2022, penggiat seni menikmati pelbagai inisiatif termasuk Geran Kandungan Digital, Projek Multimedia dan Kandungan Digital, Inisiatif Filem dan program Latihan dan Peningkatan Kemahiran serta Skim Perkhidmatan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk artis.

Selain itu, di bawah Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk Program Riuh Keluarga Malaysia (RM20 juta) dan Platform Animasi Nasional (RM30 juta) untuk ditadbir melalui Kumpulan MyCreative (MyCreative Ventures, Cendana dan Riuh).

Inisiatif-inisiatif itu dilihat memberi sedikit kelegaan kepada penggiat seni apabila dapat membantu mereka untuk terus 'bernyawa'.

Apa yang menarik perhatian, menerusi Bajet 2022, kerajaan turut mendekati golongan muda yang terbabit dalam bidang kreatif seperti pemberian Dana Khas Filem Pendek daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi memperkasa kemahiran dalam menghasilkan karya berkualiti dan diterima di peringkat antarabangsa.

Seramai tujuh karyawan muda tempatan menerima dana itu. Mereka ialah Mohd Hairi Safwan dengan karya berjudul Qarin, Lim Han Loong (Family Gathering), Lee Shi Min (Dad's Suit), Syahnur Asyikin Kee Charles (Peace Land), Syazani Zikry Zainul Hakim (A Different View), Felix Elmer Peter John Remek (Pak, Aman Nak Pergi Sekolah) dan Lenathannimalai Srinivasan (Gogu and the Memories of 7 Trees).

Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, dana di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) (Sektor Filem) itu bertujuan merancakkan ekonomi industri kreatif dalam negara dengan meningkatkan peluang pekerjaan komuniti dan karyawan muda melalui karya kreatif, di samping merangsang kreativiti penggiat menerusi eksplorasi idea dan karya.

"DKD adalah usaha berterusan daripada Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam memajukan sektor perfileman dan industri kreatif negara melalui penawaran suntikan dana kepada penggiat seni tanah air," katanya kepada media selepas majlis penyerahan surat setuju terima dana tersebut di bangunan Finas bulan lalu.

Nasir berkata, DKD (Sektor Filem) disasarkan kepada karyawan muda bagi menggalakkan penerbitan filem pendek berkualiti dan terbuka kepada semua genre yang mempunyai nilai komersial bagi penyertaan pertandingan atau festival dalam dan luar negara.

"Kita berharap penyaluran dana di bawah DKD ini membantu membina semula industri kreatif serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada penggiat seni tanah air yang terkesan pandemik Covid-19," katanya.

Bukan hanya terhad kepada penggiat filem, malah dana kerajaan turut menyantuni penyanyi.

Bulan lalu, K-KOMM mengumumkan empat pemenang bagi kategori utama iaitu Album Terbaik, Lagu Terbaik dan Artis Baharu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) akan menerima Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik bernilai RM320,000.

Pemenang Album Terbaik akan menerima DKD bernilai RM200,000, manakala Lagu Terbaik dan Artis Baharu Terbaik masing-masing menerima RM50,000. Pemenang Video Muzik Terbaik pula akan menerima DKD bernilai RM20,000.

Ini jelas membuktikan inisiatif melalui DKD kepada empat pemenang kategori utama AIM itu menjadi pemangkin kepada penggiat industri muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa.

Justeru diharapkan Bajet 2023 dapat membantu lebih ramai penggiat seni untuk merancakkan semula aktiviti industri kreatif.

Barangkali penambahbaikan yang boleh dibuat adalah memberi peruntukan kepada penerbit drama atau filem untuk menghasilkan karya lebih bermutu supaya dapat dibawa ke peringkat antarabangsa.

Selain itu, penulis ingin mencadangkan agar kerajaan melihat semula proses sesi saringan perolehan atau pitching untuk kandungan di RTM.

Diharapkan lebih banyak proses pitching diadakan bagi memberi peluang kepada penerbit untuk 'mencari makan' sekali gus dinikmati oleh sebilangan besar tenaga produksi.

Selain itu, penulis juga berharap pelbagai inisiatif baharu diperkenalkan seperti pengecualian duti hiburan untuk beberapa tempoh bagi memulihkan sektor industri kreatif yang terjejas akibat Covid-19.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 7:00 AM