Ahmad Ibrahim
Ahmad Ibrahim
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim memuji keprihatinan kerajaan dalam memperkasakan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada golongan artis.

Ahmad berkata, FDAM sendiri sudah merancang mengenai perkara itu sejak dua tahun lalu, namun pelaksanaannya terpaksa ditunda akibat beberapa kekangan termasuklah pandemik Covid-19.

"Sejak dua tahun lalu kami menggalakkan ahli-ahli kita mendaftar dengan Perkeso. Namun, kerana hambatan masa dan penularan Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, rancangan ini tak dapat diteruskan.

"Apabila dibentangkan mengenai Perkeso untuk golongan artis, ia adalah langkah yang baik kerana banyak manfaat yang akan diterima oleh mereka yang mendaftar," katanya kepada Harian Metro.

Ahmad juga menyeru perlindungan Perkeso diluaskan juga kepada pekerja-pekerja seni yang lain dan tidak hanya kepada golongan pelakon saja.

"FDAM ada menyediakan insuran kemalangan. Namun, Perkeso lebih komprehensif dari segala aspek antaranya pekerjaan dan kewangan. Kalau boleh, kita lebarkan lagi perlindungan ini kepada pekerja-pekerja filem, pelakon dan anak-anak seni lain juga. Sekurang-kurangnya, sekiranya berlaku apa-apa kesulitan di masa akan datang, ada sumber bantuan," katanya.

Diminta mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM188 juta untuk meneruskan pelbagai inisiatif dalam industri kreatif, Ahmad berharap supaya pembahagian itu diperincikan.

"Saya harap, pihak kementerian yang terbabit dapat berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengenai kaedah pembahagian dan golongan sasaran mereka agar bantuan yang disalurkan tidak tersasar," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 hari ini memperuntukkan sebanyak RM188 juta untuk industri kreatif membabitkan Dana Kandungan Digital (DKD), projek Kandungan Multimedia Digital, Insentif Filem, program Perkasa Modal Insan dan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 7:03 PM