Fikry Ibrahim
Fikry Ibrahim
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Fikry Ibrahim berharap peruntukan RM188 juta untuk merancakkan semula aktiviti industri kreatif digunakan sebaik mungkin.

Ia susulan pengumuman dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Bajet 2022, kelmarin.

Fikry berkata, peruntukan itu juga diberi kepada yang betul-betul membantu dan merancakkan ekonomi negara.

"Sebagai anak seni dan orang yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam bidang seni pastinya berasa gembira dan menyambut baik segala usaha dan suntikan dana daripada mana-mana pihak dengan tujuan menggalakkan lagi pertumbuhan sektor seni.

"Akan tetapi, harapan saya dana yang diperuntukkan digunakan sebaik mungkin dan diberi kepada yang betul-betul membantu dan merancakkan ekonomi. Dana ini impaknya besar, bukan sekadar anak seni malahan boleh memberi tempias kepada sektor lain juga," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fikry, dana itu diharap dapat memberi impak berpanjangan kepada industri kreatif tempatan.

"Rugilah kalau dana diberi kemudian digunakan tanpa ada impak berpanjangan, yang sekadar syarat untuk memberi wang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 5:14 PM