Zed Zaidi
Zed Zaidi
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Peruntukan RM160 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 hari ini menjadi khabar terbaik buat industri kreatif.

Menurut Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, dia sangat terharu apabila segala keluhan diusulkan kepada Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akhirnya dilaksanakan secara rasmi.

"Saya amat berterima kasih kepada Fahmi dan Perdana Menteri kerana mendengar serta menunaikan pelaksanaan segala yang diusulkan penggiat seni. Ini yang terbaik setakat ini selepas aduan demi aduan dibuat kepada menteri berbeza sebelumnya.

"Banyak kebaikan dapat dicapai dengan inisiatif belanjawan baharu ini termasuk membantu buka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat seni tempatan, menguntungkan penerbit filem, pengusaha acara pentas, serta lain-lain," katanya.

Antara ditekankan Zed adalah peruntukan RM90 juta inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) yang jelas mampu majukan lagi sektor perfileman tempatan.

Menurutnya, itu antara inisiatif penting yang sudah lama diusulkan.

"FIMI adalah inisiatif yang sangat bagus. Pelaksanaannya sekali gus memberi kemudahan kepada filem luar membuat penggambaran di Malaysia. Selain pelaburan, kelebihan cukai, peluang pekerjaan, teknologi lebih maju dapat diserap bakat-bakat tempatan.

"Ia juga mampu mempromosi Malaysia apabila produksi antarabangsa berebut insentif itu kemudian galakkan lagi kemajuan ekonomi," katanya.

Tidak ketinggalan, Zed yakin cadangan kerajaan menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu juga pasti memberi kelegaan buat ramai pihak.

"Berbanding kerajaan negeri mengutip cukai untuk digunakan kepada projek bukan berkaitan industri kreatif, cadangan ini sangat bagus. Selepas ini, lebih jelas pulangan itu akan dikembalikan kepada industri seni.

"Ia juga menggalakkan artis tempatan kita mendapat kerja, buat konsert, kurangkan beban penerbit filem mahupun syarikat acara dan pementasan. Juga, menggalakkan artis luar datang membuat persembahan ke sini dan mendapat pulangan cukai tinggi," katanya.

Selain FIMI dan cadangan turunkan kadar duti hiburan, RM60 juta diperuntukkan di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan. Kemudian, RM10 juta bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif.

Perdana Menteri turut menyeru kerajaan negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti pelancongan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:46 PM