LAGU dalam album punya cerita dan emosi tersendiri.
LAGU dalam album punya cerita dan emosi tersendiri.
Sudirman Mohd Tahir


NAMA Abubakarxli (Abu Bakar Ali) mungkin masih baru dalam industri hiburan tanah air, tetapi dalam arena hip hop tempatan khususnya generasi milenia yang dahagakan karya relevan lagi segar, Abubakarxli menjadi buah mulut yang dia bakal menjadi peneraju masa depan genre muzik popular itu.

Kemampuan luar biasa anak muda berusia 24 tahun itu disebut-sebut sebagai 'Most Valuable Player' penyanyi rap era baru apa lagi selepas melancarkan album E.P EXACXLI terbitan Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia.

Mengandungi enam lagu yang cukup bertenaga, keseluruhan lagu dalam album itu adalah hasil buah tangan sulungnya bersama Def Jam. Album itu adalah naskhah yang bakal menggegar dan mewarnai industri hiburan tanah air terutamanya peminat hip hop.

Memiliki bakat serba boleh, kemampuan rapper yang berasal dari Ipoh, Perak itu mendapat kebebasan daripada syarikat rakamannya menerbitkan album E.P sendiri dengan sentuhan komposer muda hebat Exactesy.

"Syukur Alhamdulillah, selepas bekerja keras, bersengkang mata dan memerah keringat dalam studio akhirnya album E.P EXACXLI berjaya diterbitkan untuk peminat hip hop tanah air.

"Saya gembira dapat bergandingan dengan Exactesy, seorang komposer muda yang mempunyai banyak ilham bernas dan segar ketika menghasilkan karya. Exactesy menepati keinginan saya untuk menerbitkan setiap lagu yang ada dalam album ini mengikut jenis ritma dan irama bertepatan dalam konsep album ini.

"Sebenarnya ada antara lagu dalam album ini sudah dibuat sejak lebih empat tahun lalu, sehinggalah saya mengambil keputusan untuk merakamnya semula ke dalam studio ketika seluruh negara berada dalam situasi dilanda pandemik yang nampaknya masih belum berkesudahan," katanya.

Abubakarxli berkata, lagu Balik Kampung dihasilkan sebagai sebahagian motivasi untuknya bekerja keras lantaran dirinya membuat keputusan untuk terus berjuang sebagai anak seni.

"Tidak kiralah apa juga rintangan yang ada di hadapan. Saya cakap pada diri sendiri, kalau nak buat perkara ini, kena buat betul-betul, kalau tak tahan boleh Balik Kampung," katanya.

TERUJA penghasilan album E.P EXACLI.
TERUJA penghasilan album E.P EXACLI.

Selain lagu Balik Kampung, terdapat lima lagu lain seperti Terbang (featuring Airliftz & Zet Legacy); Ada Orang (featuring Sxph & Pele.L); Rehat, Jangan Marah (featuring Touche & NOTAIZAT); dan Selesai (featuring Danye) turut dimuatkan dalam album ini.

"Uniknya, saya dapat merakamkan kebanyakan lagu dalam album ini bersama rakan-rakan yang cukup rapat dengan saya. Mereka ini adalah sahabat yang banyak memberi inspirasi kehadiran saya dalam industri baik di arus perdana mahupun 'underground'.

"Album ini cukup istimewa dan mempunyai nilai sentimental yang cukup tinggi dan bersifat peribadi kerana kesemua artis jemputan yang turut serta dalam setiap lagu adalah ibarat keluarga pada saya," katanya.

Berkongsi lanjut, proses rakaman membabitkan artis lain dibuat secara dalam talian di studio masing-masing dan kesemuanya mengamalkan etika bekerja dari rumah seperti disarankan kerajaan.

"Tanpa sebarang pertemuan secara fizikal dan penyesuaian dalam normal baharu, walaupun sedikit janggal namun langsung tidak menjejaskan mereka menghasilkan karya yang amat bermutu.

"Tidak hairan album ini dapat disiapkan dalam tempoh selama empat minggu sahaja. Satu komitmen dan pencapaian luar biasa buat kami semua menghadapi suasana agak sukar ini,

" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 6:30 AM