SONAONE  banyak menghabiskan masa di studio menyiapkan lagu dan mencari ilham. FOTO Arkib NSTP
SONAONE banyak menghabiskan masa di studio menyiapkan lagu dan mencari ilham. FOTO Arkib NSTP
Najiy Jefri


PENYANYI rap Sonaone mengakui belum bertemu dengan wanita pilihan hati kerana sibuk menghabiskan masa di studio rakaman.

SonaOne berkata, tiada perkara menarik dapat dikongsikan kepada peminat kerana kehidupan peribadi yang dilalui ketika ini amat membosankan.

"Kehidupan peribadi saya amat membosankan. Kalau boleh memang nak berkongsi berita gembira kepada semua tapi jujur saya katakan tahun ini masa banyak dihabiskan di studio.

"Bayangkan setiap hari saya bangun pagi, kemudian makan dan selepas itu berada di studio hingga jam 3 pagi.

"Sampaikan berat badan juga makin susut. Saya rasa tahun ini fokus banyak di studio menyiapkan lagu dan mencari ilham," katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman pengembangan label terbaru Def Jam Recordings Malaysia dan Singapura, gabungan Kartel Records dengan Universal Music Sdn Bhd.

Def Jam kedua-dua negara itu kini mempunyai barisan bakat seperti Joe Flizzow, AbubakarXLI, Caprice, Badboii, Alif, Fariz Jabba dan Yung Raja.

Sementara itu, ditanya mengenai kehadiran penyanyi rap wanita seperti Zamaera yang mewarnai dunia muzik hip-hop, SonaOne mengakui tumpang gembira melihat kejayaan penyanyi itu.

"Saya gembira tengok dia semakin berjaya dalam kalangan peminat muzik hip hop. Tidak dinafikan, kehadiran Zamaera memberi keyakinan kepada wanita lain yang meminati genre rap untuk keluar dan memperkenalkan muzik mereka.

"Sebagai contoh, penyanyi rap seperti Bunga, Hullera dan Loca B ini antara wanita yang saya lihat menyerap aura dan keyakinan tinggi dimiliki Zamaera.

"Malah saya juga tidak malu untuk kongsikan yang penyanyi rap wanita berkemampuan untuk rap seperti lelaki. Saya melihat Zamaera lebih hebat daripada beberapa penyanyi rap lelaki sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:04 PM