ABUBAKARXLI selesa dengan konsep nyanyian jalanan dan rakyat.
ABUBAKARXLI selesa dengan konsep nyanyian jalanan dan rakyat.
Ridzuan Abdul Rahman


NAMA Abubakarxli, 25, kini bukan lagi asing pada kalangan 'rapper' dan peminat muzik hip hop tanah air.

Penyanyi yang bernaung di bawah Def Jam Malaysia ini mengukir nama menerusi EP EXACXLI yang memuatkan enam lagu iaitu Balik Kampung; Terbang (menampilkan Airliftz dan Zet Legacy), Ada Orang (menampilkan Sxph dan Pele.L), Rehat, Jangan Marah (menampilkan Touche dan NOTAIZAT) dan Selesai (menampilkan Danye).

Dia yang kini tampil dengan single terbaharu berjudul Naik mengakui selesa dengan konsep lagu itu dan nyanyiannya juga lebih terarah kepada 'street' (jalanan) dan rakyat.

"Ada yang kaitkan imej saya sebagai 'rapper rempit'. Bagi saya ia bukan masalah asalkan tidak membawa ke arah negatif.

"Nak kata saya bangga memang tidak betul, tapi ada juga individu yang labelkan saya sebegitu.

"Pada saya, ini hanya pandangan orang dan ia juga berlaku di negara luar kerana mereka pun ada budaya sendiri," katanya.

Abubakarxli berkata, sebagai contoh budaya masyarakat di United Kingdom yang suka memakai 'jogger pants', manakala di Amerika Syarikat pula terkenal dengan 'superbike'.

Menerusi lagu Naik ciptaannya bersama Shazee Ishak dan Tilla Hanna, dia turut menampilkan Shalma Eliana sebagai pasangan duet.

SUNTIK motivasi dalam situasi getir pandemik Covid-19 menerusi lagu terbaharu.
SUNTIK motivasi dalam situasi getir pandemik Covid-19 menerusi lagu terbaharu.

Lagu genre adunan hip hop dan pop itu mengangkat perkataan naik sebagai satu ruang semangat meneruskan perjuangan hidup.

"Ia umpama motivasi dan penyuntik semangat untuk saya serta mereka yang menikmatinya dalam karya ini.

"Naik itu seperti kita berusaha terus tanpa mengalah dan mempedulikan bualan orang yang skeptikal mahupun meraguinya.

"Naik juga umpama satu kata ganti kepada maju ke depan. Orang cakap, kata-kata itu doa. Semua yang hidup nak maju dan berjaya. Pilihan kita untuk jadi lebih baik ialah kuat," katanya.

Lebih penting lagu ini menjadi motivasi kepada semua orang yang mendengar bahawa kejayaan tidak datang sekelip mata.

"Pasti ada laluan berliku yang datang silih berganti. Saya harap lagu ini dijadikan pembakar semangat sesiapa saja yang hampir rasa nak mengalah.

"Karya terbaharu ini juga cukup dekat dengan saya. Sebagai penyanyi, saya cuba sebaik mungkin untuk bawakan muzik yang boleh kita 'relate'.

"Tambahan pula dengan situasi getir pandemik Covid-19 ketika ini dan isu semasa lain, saya harap lagu Naik dapat menyuarakan isi hati kita," katanya.

Bercakap mengenai cabaran, Abubakarxli berkata, dia mengambil masa dua minggu juga untuk memikirkan rangka dan bait lirik.

"Satu cabaran juga buat saya menulis lagu ini pada awalnya kerana sarat pelbagai mesej. Apabila sudah datang semangat, semua proses jadi mudah.

"Menerusi lagu ini juga, saya buat kali pertama bekerjasama dengan Shazee dan Altimet untuk proses penerbitan. Malah, kami masing-masing terbuka berkongsi ilmu dan pendapat," katanya.

Dia juga melihat pembabitan Shalma menerusi lagu Naik ini sebagai pilihan tepat.

"Tona suaranya memang saya mahukan dalam bayangan penyanyi wanita yang dicari. Malah, saya tak nampak sesiapa lagi selain dia.

"Kami pantas mencipta keserasian. Ia secara tak langsung memudahkan proses rakaman dibuat selain menjadikan kerjasama yang lebih organik," katanya.

Proses penghasilan lagu dan rakaman lagu Naik dibuat sekitar September tahun lalu.

"Rakaman muzik video lagu juga sudah disiapkan. Ini antara kerja yang paling cepat siap kerana prosesnya dibuat dalam studio.

"Kami merakamkannya pada 31 Mac lalu dengan menggunakan konsep latar skrin hijau dan diarahkan Thaqif Saadon.

"Bagi saya secara peribadi, Thaqif boleh disifatkan sebagai pengarah yang pintar dan tahu apa yang dia mahukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 6:20 AM