AKIM  & The Magistrate
AKIM & The Magistrate
Datuk Siti Nurhaliza
Datuk Siti Nurhaliza
Joe Flizzow dan Sonaone
Joe Flizzow dan Sonaone
Oleh Nor Akmar Samudin


Kejayaan SonaOne membawa pulang trofi Lagu Terbaik (No More) pada Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra malam kelmarin menempa sejarah baru kepada dunia muzik tanah air apabila buat kali pertama lagu Hip Hop diangkat sebagai Lagu Terbaik AIM.

SonaOne turut menang dua lagi anugerah, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik (Apa Khabar)-Joe Flizzow 'featuring' SonaOne.

Ditemui selepas berakhirnya acara penganugerahan, jelas SonaOne dia amat gembira dengan kejayaan itu kerana suatu ketika dulu lagu genre itu hanya menjadi milik golongan 'indie' dan 'underground'.

"Situasi sekarang sudah benar-benar berubah apabila Hip Hop sudah diterima dalam arus perdana muzik Malaysia. Malam ini (kelmarin) saya tak jangka langsung lagu Apa Khabar akan menang bahkan saya hanya mahu bergembira dan menghiburkan jemputan AIM21 ketika saya menyanyikan lagu itu bersama Joe Flizzow yang juga komposer dan penulis lirik lagu itu.

"Sepuluh tahun lalu saya hanya mampu melihat lagu genre lain diangkat sebagai Lagu Terbaik AIM dan dengan pengiktirafan ini lagu Hip Hop diletakkan setahap lebih tinggi," katanya.

Joe turut melahirkan rasa bangganya terhadap kejayaan lagu Apa Khabar dan No More kerana berjaya melakarkan sejarah tersendiri dalam AIM21.

"Sebagai abang dan mentor kepada SonaOne, saya gembira dengan kejayaannya. Enam tahun lalu dia datang ke studio saya untuk belajar menulis lagu dan selepas enam tahun dia meraih kejayaan ini. Dia adalah penyanyi dan pemuzik masa depan negara yang dilahirkan daripada 'underground', menjayakan show kecil dan tidak mendapat banyak pendedahan.

"Kejayaan SonaOne membuktikan siapa pun yang bekerja keras pasti akan berjaya," katanya.

Joe sempat mengimbas semula kemunculannya bersama Malique di pentas AIM 15 tahun lalu. Ketika itu katanya, kumpulan Too Phat baru bermula dan julung kali mereka berdua berdiri di pentas AIM yang berprestij itu.

"Berdirinya saya sekali di pentas AIM21 dengan SonaOne membuatkan saya terkenang semula nostalgia lalu yang menjadi titik permulaan buat saya dan Malique," katanya yang kini bergerak sendiri dan adakala dia akan berkolaborasi dengan artis baru selepas ketiadaan Malique.

Akim terima tekanan pemangkin semangat

Akim yang menang Vokal Terbaik Lelaki menerusi lagu Mewangi meraikan kejayaan keduanya pada AIM21 selepas dia memenangi Anugerah Komposer Muda Berpotensi pada malam ulang tahun Jubli Perak Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) baru-baru ini.

"Kemenangan pada AIM21 adalah kejayaan besar buat saya selepas lima tahun menyertai dunia seni suara," katanya.

Dengan kejayaan itu juga sekali gus Akim menepis tuduhan yang dia lalok ketika membuat persembahan pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 29 baru-baru ini sehingga lagu Mewangi gagal terpilih ke peringkat akhir pertandingan itu.

"Saya tidak berada dalam keadaan lalok kerana perbuatan itu bukan saja akan merosakkan kerjaya saya malah memalukan ibu bapa saya apatah lagi saya masih tinggal bersama mereka. Ibu saya sangat sedih mendengar tuduhan yang dilemparkan kepada saya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu.

"Sebagai anak saya amat mengharapkan doa daripada kedua orang tua saya dan sentiasa mengikut jalan yang betul untuk berjaya. Anugerah malam ini menambahkan keyakinan saya untuk terus meneroka muzik baru di mana untuk single kedua bersama Magistrate, kami akan bereksperimen dengan muzik baru yang dirakam di luar studio.

"Sekali lagi saya akan mencipta sendiri lagu untuk single kedua ini yang prosesnya akan bermula Januari depan. Genre lagunya tidak sama dengan Mewangi," katanya.

Menjawab pertanyaan lain, Akim yang kini selesa bergerak dengan Magistrate berkata, dia berfikiran positif jika dengan kejayaan Mewangi peminat terus meletakkan harapan tinggi dalam penciptaannya selepas ini.

"Tekanan menjadi pemangkin semangat buat saya untuk terus berjaya dalam industri. Saya juga semakin selasa membuat persembahan dengan Magistrate kerana apabila bergerak berkumpulan ia meletakkan persembahan saya pada satu tahap lain. Trofi yang dimenangi ini amat bererti buat kami," katanya.

Inspirasi daripada suami

Siti yang merangkul anugerah Album Terbaik AIM21 (Fragmen), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) untuk kali ke-12 menerusi lagu Lebih Indah dan menang anugerah kategori Rakaman Album Terbaik menerusi album Konsert Lentera Timur Datuk Siti Nurhaliza Bersama Orkestra Tradisional Malaysia berkata, album studio Fragmen itu diilhamkan daripada tragedi yang menimpa suaminya, Datuk Khalid Mohd Jiwa.

"Kejayaan ini juga membuktikan kerja keras yang berteruskan pasti akan berjaya. Meskpun album Fragmen dihasilkan selepas tiga tahun pembikinan album studio yang terdahulu, tetapi saya tetap mengikut peredaran muzik terkini dan muzik apa yang peminat nak dengar.

"Saingan untuk kategori ini hebat belaka dari segi lagu dan vokal masing-masing. Jika malam ini saya tidak menang pun sebagai penyanyi, saya akan terus memberikan yang terbaik kepada peminat kerana nyanyian adalah jiwa dan kerjaya saya," katanya.

Walaupun sebelum ini ada cakap-cakap yang kurang berpuas hati dengan penjurian, tetapi bagi Joe, SonaOne, Akim dan Siti, setiap mereka yang terpilih untuk duduk di kerusi juri adalah mereka yang profesional dan sangat arif dalam bidang muzik.

Majlis anugerah itu dihoskan Mohd Faisal Ismail (FBI) dan Zizan Razak. Penonton juga dihiburkan dengan persembahan nyanyian, Ayai & Haleeda, Fakhrul Razi, Azmarul, Dayang Nurfaizah, Sleeq, Aweera dan Tam Spider. Kemuncak acara, tiga ratu dangdut, Sheeda, Haiza dan Ramlah Ram muncul di pentas dengan lagu popular mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 5:02 AM