WALAUPUN pernah terbabit dalam muzik rock, kini hip hop adalah muzik pilihan Nayaka.
WALAUPUN pernah terbabit dalam muzik rock, kini hip hop adalah muzik pilihan Nayaka.
Ridzuan Abdul Rahman


SEORANG ahli falsafah terkenal pernah berkata, satu-satunya perkara yang tetap dalam hidup ini adalah perubahan.

Ternyata rapper, penyanyi dan komposer A Nayaka atau nama sebenarnya Ariel Nayaka sedar mengenai perkara ini.

Seiring perubahan masa dan pelbagai pengalaman hidup yang ditempuhinya, artis kelahiran Indonesia ini mengakui dia bukan lagi orang yang sama.

Dia berkongsi naratif ini melalui single terbaharunya berjudul Orang Lain yang dikeluarkan pertengahan tahun ini.

"Kadang-kadang orang menganggap perubahan berlaku jika seseorang sudah berubah atau ketika seseorang itu sudah melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan mereka.

"Ia adalah sesuatu yang buruk. Dalam lagu ini, apa yang saya ingin ceritakan adalah mengenai sisi positif perubahan. Berubah menjadi orang lain maksudnya berkembang menjadi diri anda yang baharu dan mencari versi diri anda yang lebih baik. Itu adalah perkara yang bagus," katanya mengenai makna di sebalik lagunya yang catchy ini.

Nayaka tidak sendirian dalam menyampaikan mesej mengenai perubahan ini apabila turut bekerjasama dengan penyanyi hip hop Malaysia, SonaOne dan Singapura iaitu YHB Sleepsalot.

"Kisah kerjasama kami cukup menarik. Pada mulanya Sona menghantar rentak kepada saya yang kemudian saya isi dengan 'hook' dan satu 'verse'.

"Rupa-rupanya Sona juga mengirim YHB rentak yang sama dan YHB pun hanya mengisinya dengan satu bait kata.

"Sona kemudian terfikir untuk menggabungkan semuanya. Sesungguhnya kerjasama ini sangat organik dan lancar sekali," katanya mengungkap permulaan proses kerjasama tiga negara ini.

Walaupun biasanya berkarya dalam bahasa Inggeris, Nayaka masih tetap mengekalkan penuturan dwibahasa.

Namun kali ini dia lebih banyak memberi penekanan pada bahasa ibundanya iaitu bahasa Indonesia.

"Sebenarnya, penggunaan bahasa Indonesia bukanlah pilihan yang disengajakan. Ia berkait rapat dengan mesej dalam Orang Lain.

"Dulu kebanyakan muzik yang saya buat biasanya dalam bahasa Inggeris, tapi kali ini saya masih tetap menggunakan rentak trap/hip hop, namun berusaha memasukkan lebih banyak bahasa Indonesia.

"Inti patinya, tidak kira bagaimanapun kita berubah, pada dasarnya kita masih tetap diri kita sendiri. Itulah mesej utama yang ingin saya sampaikan. Namun sejujurnya, saya hanya menyatukan mesej terbabit selepas lagu itu siap," katanya.

NAYAKA (tengah) bersama YHB Sleepsalot (kiri) dan SonaOne bergandingan menerusi lagu Orang Lain.
NAYAKA (tengah) bersama YHB Sleepsalot (kiri) dan SonaOne bergandingan menerusi lagu Orang Lain.

Perubahan positif lain yang dialami Nayaka adalah dia lebih bebas dalam berkarya.

"Saya menggarap sebahagian besar aspek lagu ini. 'Mixing' dibuat oleh Sona, manakala 'mastering' dibuat oleh saya dengan bantuan rakan sekerja. Saya membuat 'cover art' dengan seorang rakan lain, begitu juga dengan video liriknya.

"Sebenarnya saya gembira kerana tidak banyak pihak ketiga yang terbabit dalam projek ini kerana ia memberi peluang kepada saya untuk benar-benar terbabit dalam semua aspek.

"Mungkin ini adalah projek pertama yang saya terbabit dalam hampir semua perkara," katanya.

Lagu Orang Lain yang turut menampilkan SonaOne dan YHB Sleepsalot boleh dinikmati di semua platform muzik digital.

Nayaka dilahirkan di Jakarta pada 2 Ogos 1994. Masa remajanya dihabiskan di bandar Houston, Texas, Amerika Syarikat tempat minatnya kepada muzik hip hop bermula.

Walaupun pernah terbabit dalam muzik rock, hip hop tetap menjadi pilihannya hingga sekarang.

Kariernya dalam industri muzik rap dan hip hop bermula dengan album Curriculum Vitae yang dilancarkan pada 2016.

Kemudian pada 2017, dia melancarkan album mini olorblindflo yang mengandungi enam lagu berjudul Escape, Powder Pablo, For Real Williams, Midas Touch, Hunnid MF dan Hunnid On Dash.

Albumnya yang berjudul Cadence Blue (2018) menerima pencalonan bagi 'Album of the Year' dalam Indonesia Music Awards 2018.

Pada 2019, dia secara rasmi bergabung dengan Def Jam South East Asia, salah satu label rakaman di bawah syarikat Universal Music Group khusus untuk wilayah Asia Tenggara.

Def Jam adalah syarikat rakaman muzik hip hop yang sangat terkenal di Amerika Syarikat dan sering menerima serta merekrut pemuzik hip hop dan rapper terkenal seperti NAS, A Tribe Called Quest, Big Sean dan Kanye West.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 9:18 AM