DUET dengan anak rakam single istimewa Aidilfitri.
DUET dengan anak rakam single istimewa Aidilfitri.
Norhayati Nordin


Lebih dua dekad menceburi bidang nyanyian, Adila Idris, 46, sedikit pun tidak pernah berasa lelah.

Baginya, kerana minat mendalam dia harus cekalkan hati dan sentiasa berfikiran positif.

Tidak pernah jemu menghasilkan single terbaru meskipun kurang mendapat sokongan stesen radio, Adila tidak berkecil hati.

Ditemui ketika sesi fotografi bersamanya, Adila berkata dia tidak akan berhenti berkarya.

“Apapun, karya terbaru daripada saya adalah dua single istimewa Aidilfitri iaitu Selera Hari Lebaran dan Selamat Hari Raya.

“Selera Hari Lebaran hasil ciptaan komposer berpengalaman S Atan dan lirik ditulis oleh Siso.

“Manakala lagu Selamat Hari Raya pula single rakaman semula penyanyi era 1970-an dari Singapura, Indra Shahrir,” katanya.

Menurut Adila yang pernah mendapat jolokan ‘Ratu Keroncong Malaysia’, menariknya single Aidilfitri adalah dia berduet dengan anaknya, Tengku Indra Muzaffar Tengku Ngah Putra.

“Saya gigih menghasilkan single ini secara duet dengan anak kedua, Affa yang kini berusia 16 tahun.

“Keputusan berduet dengan Affa dibuat selepas melihat minat dan kesungguhannya untuk menonjolkan bakat sebagai penyanyi.

“Malah, sebagai pendedahan awal saya sering bawa Affa menjayakan persembahan bersama,” katanya.

Adila yang juga adik kepada komposer dan peniup saksofon terkenal, JARI berkata dia dan suami sentiasa bersikap terbuka menyokong minat anak mereka.

“Empat anak saya semuanya berbakat dalam bidang seni. Cuma, Affa yang nampak ketara mahu ikut jejak saya.

“Sebagai ibu, saya tidak menghalang dia untuk serius dalam bidang ini satu hari nanti,” katanya.

Adila yang membina karier seni pada era 1990-an pernah popular dengan lagu Janji Seorang Kekasih hingga berjaya melayakkan dirinya bertanding di Anugerah Juara Lagu 1996 (AJL 1996).

Bertemu jodoh dengan Tengku Ngah Putra Tengku Ahmad Tajudin, 51, Adila juga kakak ipar pelakon dan pengacara Raja Azura.

Selain Affa, tiga lagi anak pasangan ini ialah Tengku Indra Iskandar, 20, Tengku Indra Zulkarnain, 14, dan Tengku Putri Rania, 10.

Affa kagum bakat Afgan

Mengakui minatnya lebih cenderung pada muzik moden, gandingan duet dengan ibu tercinta adalah untuk menimba pengalaman.

Menurut Affa, dia minat menyanyi sejak kanak-kanak kerana sering menemani ibunya membuat persembahan.

“Saya gembira dapat mewarisi bakat nyanyian ibu apatah lagi keluarga kami berdarah seni.

“Selain menyanyi, saya juga boleh bermain alat muzik seperti gitar dan piano. Malah, saya pernah menghasilkan beberapa lirik lagu,” katanya.

Ditanya mengenai penyanyi diminati dan menjadi inspirasinya, Affa berkata dia mengagumi Afgan.

“Saya ada menyimpan impian untuk berjaya dalam bidang nyanyian seperti Afgan suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Affa, apa pun dia sangat berterima kasih kepada ibu bapanya yang tidak pernah jemu menyokong usahanya selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:51 AM