Adila masih bersemangat rakam lagu baru. FOTO Fadzilah Idris
Adila masih bersemangat rakam lagu baru. FOTO Fadzilah Idris
Norhayati Nordin


PENYANYI Adila Idris, 46, mengakui tidak pernah kesal apatah lagi berasa terkilan apabila kebanyakan lagu dirakamnya tidak berkumandang di radio.

Adila yang dikenali dengan lagu-lagu berentak keroncong dan pernah mendapat jolokan 'Ratu Keroncong Malaysia' ditemui berkata dia lebih gemar bersikap positif dan enggan menuding jari kepada sesiapa.

"Selama lebih dua dekad saya menceburi bidang nyanyian, ruang populariti sudah pernah saya kecapi sekitar 1990-an lalu.

"Sekarang, saya sedar ruang ini (populariti) memang diungguli golongan penyanyi muda masa kini dan biarkan mereka.

"Mereka (penyanyi muda) berhak memperolehnya kerana banyak juga karya lagu dihasilkan bintang muda ini sedap didengar.

"Lagi pun, tidak ada yang lama tiadalah yang baru. Ini sebahagian lumrah dalam industri seni dan hiburan," katanya.

Bagi pemilik nama sebenar Fadzilah Idris ini, apa yang paling diutamakannya adalah teruskan semangat merakamkan lagu baru.

"Sama ada lagu nyanyian saya disiarkan radio atau tidak, terpulang. Ini kerana, yang pasti rakaman lagu tetap dibuat.

"Malah, lebih bermakna lagi apabila sepanjang dua dekad dalam karier seni ini saya masih terima tawaran persembahan nyanyian.

"Justeru, biar pun kebanyakan lagu yang saya rakam tidak disiarkan radio tetapi paling penting tawaran menyanyi itu masih ada," katanya.

Pernah popular dengan lagu Janji Seorang Kekasih, Adila juga berjaya melayakkan dirinya bertanding di Anugerah Juara Lagu 1996 (AJL 1996).

"Kini, apa yang saya lakukan hanya meneruskan minat mendalam pada nyanyian. Malah, tiba masanya juga membantu ketengahkan bakat anak saya.

"Meskipun empat orang anak saya semuanya berbakat dalam muzik dan nyanyian tetapi anak kedua, Tengku Indra Muzaffar Tengku Ngah Putra atau Affa, 16, lebih menunjukkan minat.

"Jadi, untuk permulaan ini saya dan Affa bekerjasama menghasilkan single duet Aidilfitri, Selera Hari Lebaran ciptaan S Atan dan lirik ditulis Siso," katanya.

Adila yang juga adik kepada komposer dan peniup saksofon terkenal, JARI bertemu jodoh dengan Tengku Ngah Putra Tengku Ahmad Tajudin, 51, iaitu abang pelakon dan pengacara, Raja Azura.

Selain Affa, tiga lagi anak pasangan ini ialah Tengku Indra Iskandar, 20, Tengku Indra Zulkarnain, 14 dan Tengku Putri Rania, 10.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 6:02 PM