FAREEZ (kiri) dan Qody mula dikenali ramai.
FAREEZ (kiri) dan Qody mula dikenali ramai.
Michelle Gun


Selepas lima bulan meninggalkan pentas program realiti Mentor Milenia, Fareez dan Qody tampil dengan single yang mula diputarkan di corong radio.

Selain single solo itu, dua anak muda ini turut berduet lagu tema Da’i Pendakwah Nusantara musim baru berjudul Lebaran Kejayaan yang sebelum ini dinyanyikan Farid Sanullah.

Menerusi kolaborasi itu, Fareez yang juga juara Mentor Milenia dan Qody merancang merakamkan single baru yang turut menampilkan Wanie.

Menurut Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan, 19, lagu itu akan diperkenalkan kepada pendengar sekitar awal tahun depan.

“Bahan sudah ada dan kami turut mengajak Wanie menyanyikan lagu ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bercerita perkembangan terbaru kariernya, Fareez yang mempertaruhkan single berjudul Radio bakal menjayakan persembahan pembukaan konsert Afgan di ibu kota yang berlangsung September ini.

“Tak sangka, saya yang masih hijau terpilih berkongsi pentas dengan Afgan.

“Ini peluang terbaik untuk memperkenalkan lagi nama saya dalam industri muzik tanah air,” katanya yang akan mengalunkan dua lagu di konsert berkenaan.

Selain menyanyi, anak kedua daripada 10 beradik itu turut ditawarkan melakonkan watak antagonis dalam filem Super Badang.

“Saya suka watak ini dan ada babak bertarung. Apapun, saya belum beri kata putus kerana perlu lihat jadual kerja dulu,” katanya.

Mengulas kerjasama menyanyikan lagu Lebaran Kejayaan, Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani, 22, berkata, ia digubah semula Edrie Hashim dan mengetengahkan irama rock ringan.

Masih mengekalkan konsep kerohanian, Qody berkata, cara penyampaian lagu itu perlu berbeza daripada musim lalu, sekali gus mencabar kemampuan mereka.

“Susah juga bawa lagu ini kerana perlu menggunakan tenaga selain Edrie mahu ada lenggok Arab.

“Pun begitu, Lebaran Kejayaan lagu istimewa kerana turut menyelitkan bunyi bongo, gitar dan dram,” katanya yang tampil dengan single Biar Aku.

Ujarnya lagi, lagu itu diharap dapat menarik minat golongan muda menyaksikan Da’i Pendakwah Nusantara yang bersiaran di TV3 setiap Sabtu dan Ahad, jam 7.58 malam.

“Saya dan Fareez berharap kerjasama ini satu permulaan yang baik buat kami,” katanya.

Qody dan Fareez akan membuat persembahan istimewa di pentas final Da’i Pendakwah Nusantara di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, 9 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:01 AM