ALIFF dan Adila.
ALIFF dan Adila.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Selepas mendirikan rumah tangga pada tanggal 12 Disember 2015, Aliff Razali dan Nas Adila lega apabila bebas bergerak ke sana-sini tanpa sebarang halangan.

Adila berkata, sebelum ini dia dan Aliff kurang selesa berdepan persepsi negatif masyarakat setiap kali keluar berdua mencari rezeki.

“Kini tak perlu risau lagi kerana hubungan kami sudah halal. Dulu, kami mengehadkan pergerakan kerana bimbang ada yang pandang serong.

“Mereka buat tafsiran sendiri sedangkan kami keluar bersama untuk cari rezeki.

“Saya jual tudung serta menghasilkan produk kecantikan sendiri dan kami aktif menyertai karnival jualan di seluruh negara,” katanya.

Anak jati Johor ini turut menzahirkan rasa syukur apabila majlis akad nikah dan persandingan berlangsung seperti yang diharapkan, malah mereka kini bahagia menikmati bulan madu.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Majlis sambut menantu yang berlangsung di Dewan Besar Sungai Dua, Pulau Pinang pada 27 Februari lalu pun okey.

“Hidup terasa lebih bermakna apabila sudah berkeluarga bahkan diri rasa disayangi,” kata Nas yang turut mengendalikan kelas zumba di Batu Caves, Selangor.

Adat suami isteri pasti ada rajuk dan salah faham, begitu juga dengan pasangan ini, namun mereka cepat bertindak meredakan keadaan.

“Bergaduh, salah faham dan merajuk perkara biasa ketika bercinta dan selepas berkahwin. Cuma bezanya selepas berkahwin kami jadi lebih matang dan tidak akan biarkan situasi kurang menyenangkan itu berpanjangan. Biasanya kalau ada berselisihan perdapat, kami akan segera berdamai.

“Insya-Allah selepas ini kami akan menghasilkan single duet. Kami kerap diundang menjayakan persembahan secara duet dan jika ada lagu sendiri pasti lebih bersemangat,” kata Aliff yang mengharapkan cepat dikurniakan cahaya mata.

Diraikan peminat

Beralih perihal karier, Nas Adila menafikan karier seninya semakin suram. Hakikatnya, dia masih aktif menjayakan persembahan secara solo mahu pun duet dengan suami tercinta.

“Syukur, rezeki saya tak pernah putus. Mungkin kurang publisiti di media massa buat orang ingat karier saya kian suram.

“Saya bertuah kerana peminat setia menyokong, malah mereka menubuhkan kelab peminat beberapa tahun lalu. Menerusi kelab ini, pelbagai aktiviti dirancang termasuk majlis bertemu peminat yang berlangsung baru-baru ini.

“Saya amat berterima kasih dengan presidennya, Haida Hassan yang bertungkus-lumus menganjurkan macam-macam acara.

“Jika tiada aral, kami akan bercuti di Pulau Redang, Terengganu bulan ini,” katanya.

Pada majlis sama, Nas Adil dan peminatnya turut meraikan ulang tahun kelahiran adik Mohd Adam Roslan, 9, yang menghidap kanser otak.

“Ulang tahun Adam sepatutnya pada 12 Januari lalu, tetapi difahamkan dia tidak pernah meraikannya.

“Kami cuba tunaikan impiannya dan berasa gembira melihat wajah riangnya,” kata Nas Adila.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 10:40 AM