ASKAR dilihat berkawal di jalan masuk menuju ke Taman Rajabhakti, semalam.
ASKAR dilihat berkawal di jalan masuk menuju ke Taman Rajabhakti, semalam.

Bangkok: Tentera Thailand menghalang satu tunjuk perasaan antirasuah semalam dengan menahan 33 pelajar dan aktivis yang dalam perjalanan ke sebuah taman peringatan bagi memperingati Raja Thailand.

Pembinaan taman berkenaan mencetuskan kontroversi kerana didakwa menggunakan wang daripada aktiviti meragukan membabitkan beberapa pegawai kanan tentera.

Antara usaha tentera menghalang tunjuk perasaan itu termasuklah memisahkan gerabak kereta api yang dinaiki aktivis menuju ke Taman Rajabhakti di bandar Hua Hin sebelum ditahan.

Tentera juga mengumumkan, taman berkenaan yang dibina di atas tanah milik tentera ditutup untuk penyelenggaraan.

“Pihak berkuasa menahan kumpulan ini daripada tiba ke destinasi mereka.

“Taman ini dibina untuk rakyat Thailand memberi penghormatan kepada raja mereka, bukannya untuk tempat membuat protes atau sebarang acara,” kata jurucakap kerajaan, Winthai Suvaree.

Kes itu menjadi skandal besar di Thailand, lebih-lebih lagi junta tentera yang mentadbir negara sejak rampas kuasa tahun lalu berikrar mengubah sistem politik bagi menangani rasuah.

Media tempatan dan kumpulan pembangkang mendakwa jumlah rasuah yang besar diminta untuk kontrak beberapa binaan di taman itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 7:54 AM