ANGGOTA aktivis Pergerakan Demokrasi Baru dan penyokong 14 pelajar yang ditahan kerana membantah rampasan kuasa meraikan keputusan mahkamah tentera di Bangkok  membebaskan 14 pelajar yang menghadapi tuduhan menghasut.
ANGGOTA aktivis Pergerakan Demokrasi Baru dan penyokong 14 pelajar yang ditahan kerana membantah rampasan kuasa meraikan keputusan mahkamah tentera di Bangkok membebaskan 14 pelajar yang menghadapi tuduhan menghasut.

Bangkok: Sekumpulan pelajar yang ditahan kerana menyertai tunjuk perasaan membantah rampasan kuasa dibebaskan dari penjara semalam, tetapi tuduhan menghasut yang didakwa terhadap mereka masih kekal.

Kumpulan 14 pelajar itu antara aktivis yang berani mencabar junta tentera yang merampas kuasa daripada kerajaan yang dilantik menerusi pilihan raya, tahun lalu.

Aktivis yang terdiri daripada pelajar universiti berusia dalam lingkungan 20-an, termasuk seorang wanita itu ditahan sejak hujung Jun lalu.

Mereka ditahan ketika mengadakan bantahan aman di Monumen Demokrasi di tengah Bangkok dan didakwa menghasut.

Sekiranya didapati bersalah, kumpulan itu berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Peguam pelajar berkenaan, Krisadang Nutcharut berkata, mahkamah tentera tidak meluluskan permintaan polis yang mahu menahan aktivis itu selama 12 hari lagi.

“Pelajar berkenaan tidak menunjukkan sebarang tanda mahu keluar dari negara ini.

“Penahanan mereka hanya akan menghalang mereka daripada membela diri,” katanya.

Menurutnya, mahkamah bagaimanapun mengekalkan tuduhan menghasut terhadap semua pelajar berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2015 @ 10:22 AM