PRATHIN Janket, antara yang didakwa terbabit merancang serangan bulan depan, dikawal ketika sidang media di ibu pejabat polis di Bangkok, kelmarin.
PRATHIN Janket, antara yang didakwa terbabit merancang serangan bulan depan, dikawal ketika sidang media di ibu pejabat polis di Bangkok, kelmarin.
Agensi

Bangkok: Pembangkang utama Thai semalam menyifatkan dakwaan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha kononnya mereka merancang menyerang pegawai kanan negara itu sebagai tidak berasas.

Barisan Bersatu untuk Demokrasi (UDD) yang dikenali sebagai kumpulan Baju Merah juga berkata, dakwaan itu dibuat sebagai usaha junta untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada satu siasatan kes rasuah.

Prayuth kelmarin menuduh UDD yang menyokong kerajaan yang digulingkannya dalam rampasan kuasa 2014 sebagai dalang di sebalik rancangan untuk menyerang pemimpin kanan kerajaan di satu acara berbasikal pada 11 Disember ini.

Acara itu akan diadakan sebagai menghormati Raja Bhumibol Adulyadej.

Jurucakap UDD Thanawut berkata, tuduhan itu bertujuan mengalihkan tumpuan orang ramai daripada dakwaan rasuah membabitkan pembiayaan berjumlah satu bilion baht (RM118 juta) untuk membina Taman Rajabhakti yang akan menyaksikan pembinaan patung bekas raja Thai.

“Baju Merah tidak akan mencetuskan kekacauan pada hari penting negara,” kata Thanawut.

Jurucakap kerajaan tentera enggan mengulas.

Polis kelmarin berkata, mereka membongkar rancangan penentang junta untuk melaksanakan serangan bersenjata ketika acara kebangsaan.

Dua lelaki, seorang bekas polis dan seorang awam ditahan kelmarin berhubung rancangan itu. Polis juga mengeluarkan waran tangkap terhadap tujuh yang lain yang didakwa terbabit merancang serangan itu.

Isu pembinaan taman itu dan siasatan besar-besaran terhadap sekumpulan orang yang mendakwa mempunyai hubungan dengan istana berlaku ketika kerajaan tentera bertindak terhadap mereka yang didakwa memalukan keluarga diraja.

Pendakwaan berkaitan kes itu meningkat sejak rampasan kuasa 2014.

“Junta tentera kini di tahap akhir kanser. Ia akan mati sendiri kerana salah pengurusan dan dakwaan rasuah,” kata Thanawut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:22 AM