PENUNJUK perasaan berhimpun di Tugu Demokrasi di Bangkok, kelmarin.
PENUNJUK perasaan berhimpun di Tugu Demokrasi di Bangkok, kelmarin.

Bangkok: Sekumpulan aktivis prodemokrasi berkata, mereka merancang lebih banyak perarakan selepas mengadakan tunjuk perasaan politik Sabtu lalu, yang terbesar di Bangkok sejak kerajaan tentera mengambil alih kuasa pada Mei 2014.

Penyelaras tunjuk perasaan yang juga pelajar undang-undang Universiti Thammasat Rangsiman Rome berkata, satu lagi tunjuk perasaan akan diadakan pada awal Oktober.

“Memang kami takut, tetapi kami tidak akan berundur. Saya akan teruskan perjuangan kerana kami mahu menjadikan Thailand negara demokratik,” katanya kepada wartawan, semalam.

Kumpulan itu memperoleh kebenaran mengadakan forum di universiti kelmarin, tetapi tidak berarak di luar kampus.

Tidak dapat dipastikan mengapa pihak berkuasa berubah fikiran membenarkan perarakan itu.

Junta tentera Thai pimpinan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha mengharamkan perhimpunan politik lebih lima orang.

Mengulas mengenai kejadian kelmarin, jurucakap junta Winthai Suvaree berkata, dasar mengenai perhimpunan orang ramai masih dikekalkan.

Tunjuk perasaan kelmarin diadakan sempena ulangtahun kesembilan rampasan kuasa yang menumbangkan kerajaan Thaksin Shinawatra, peristiwa yang dilihat sebagai pencetus konflik yang sehingga sekarang tidak ada tanda akan berakhir. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:34 AM