Bangkok: Junta tentera Thailand menahan seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris dalam apa yang dilihat sebagai tindakan terbaru terhadap pengkritik kerajaan.

Jurucakap kerajaan, Winthai Suvaree mengesahkan wartawan akhbar The Nation, Pravit Rojanaphruk dibawa ke pusat tahanan tentera kelmarin.

Winthai dalam satu SMS kepada wartawan semalam memberitahu, Pravit dan beberapa individu dibawa untuk berbincang dengan pihak berkuasa susulan kenyataan mereka yang melanggar peraturan berkaitan maklumat.

Menurutnya, tempoh penahanan Pravit bergantung kepada kerjasama wartawan itu kepada pihak berkuasa.

Pada minggu lalu, tentera menahan dua ahli politik termasuk bekas menteri tenaga kerana sering mengkritik kerajaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 5:04 AM