PEMAIN Penghulu FC (jersi biru) dan pasukan PDKP FC bergambar kenangan.
PEMAIN Penghulu FC (jersi biru) dan pasukan PDKP FC bergambar kenangan.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

Kubang Pasu: Hasrat kelab Penghulu Kubang Pasu (Penghulu FC) membalas dendam tidak kesampaian apabila sekali lagi tumpas 1-2 kepada PDKP FC pada perlawanan bola sepak persahabatan di padang Kompleks Pentadbiran Daerah Kubang Pasu, baru-baru ini.

Sebelum ini Penghulu FC turut tumpas kepada pasukan sama pada perlawanan empat bulan lalu.

Pada perlawanan itu, penyerang PDKP FC Afifuddin Ismail dan Ismail Din masing-masing menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama manakala gol sagu hati Penghulu FC disumbangkan Ahmad Shauki Shaari pada babak kedua.

Afifuddin yang juga penyelaras perlawanan berkata, perlawanan itu diadakan bagi mengeratkan hubungan antara warga Pejabat Daerah Kubang Pasu yang membabitkan pelbagai unit dan bahagian di samping melahirkan kakitangan cergas serta sihat.

Perlawanan itu turut disertai Penolong Pegawai Daerah Kubang Pasu Muhammad Hamdi Abdullah Zawawi yang kemudiannya mewakili Pegawai Daerah Kubang Pasu menyampaikan hadiah dan cenderamata kenangan kepada semua pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 9:33 AM