PASUKAN bola baling SK Jitra 3 bergambar bersama guru dan jurulatih selepas muncul juara B-12 Kejohanan MSSD Kubang Pasu 2016.
PASUKAN bola baling SK Jitra 3 bergambar bersama guru dan jurulatih selepas muncul juara B-12 Kejohanan MSSD Kubang Pasu 2016.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Kubang Pasu: Pasukan bola baling Sekolah Kebangsaan (SK) Jitra 3 muncul juara apabila menewaskan SK Paya Kamunting 8-5 dalam aksi final Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kubang Pasu 2016 di padang sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Kemenangan itu kejayaan keempat berturut-turut sekolah terbabit sejak mula memenanginya pada 2013.

SK Padang Pekan dan SK Anak-Anak Angkatan Tentera pula berkongsi tempat ketiga.

Ketua jurulatih SK Jitra 3 Fauzan Badari Ahamad Fauzi berkata, pihaknya membuat persiapan awal dengan merangka program latihan berterusan dengan memilih murid Tahun Empat yang berpotensi bagi mewakili sekolah berkenaan.

“Mereka dibimbing sepanjang tahun dan pasukan ini juga memenangi beberapa kejohanan lain.

“Kemenangan itu membolehkan mereka mewakili daerah Kubang Pasu. Sebelum ini, kita pernah muncul juara Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSK) Kedah 2015 dan bergelar naib juara peringkat kebangsaan pada 2013,” katanya.

Sebanyak 20 sekolah rendah seluruh Kubang Pasu menyertai kejohanan kali ini bagi mewakili daerah ke peringkat negeri yang akan diadakan di Beris Jaya, Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 7:00 AM