Keadaan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dalam keadaan jerebu dengan bacaan IPU 82 pada 7.00 petang tadi. FOTO  ASWADI ALIAS.
Keadaan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dalam keadaan jerebu dengan bacaan IPU 82 pada 7.00 petang tadi. FOTO ASWADI ALIAS.
Oleh Isma Ismail


Kuala Terengganu: Perlawanan Kumpulan C Piala Malaysia 2015 antara T-Team menentang Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini, diteruskan walaupun keadaan di bandar raya itu diselubungi jerebu.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan itu menjadi aksi tunggal yang berlangsung pada malam ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menangguhkan empat perlawanan lain berikutan keadaan jerebu.

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga jam 7 malam tadi, bacaan kualiti udara di Kuala Terengganu mencatatkan 82 berbanding kiraan dua jam sebelum itu yang menghampiri tidak sihat iaitu 98.

Mengikut pegawai T-Team yang dihubungi Harian Metro, sehingga jam 7.30 malam tadi pihaknya tidak menerima sebarang arahan penangguhan daripada komisioner perlawanan dan aksi keempat kedua-dua pasukan itu akan berlangsung seperti dijadualkan.

Empat perlawanan dijadualkan pada malam ini yang ditangguhkan adalah membabitkan pertembungan antara Johor DT II menentang Terengganu, ATM bertemu Sarawak, PDRM dan Pahang serta PKNS berhadapan dengan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2015 @ 8:26 PM