Kuala Nerang: Kementerian Pendidikan bersedia menghadapi kemungkinan sepanjang berlangsungnya peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 termasuk bencana alam seperti banjir dan jerebu.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) sudah membuat persediaan awal bagi menjamin kelancaran sepanjang peperiksaan UPSR berlangsung.

Menurutnya, persediaan itu termasuklah berkaitan kertas peperiksaan, pengawas peperiksaan dan pusat peperiksaan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Kita ada pelan A dan B jika berlaku sebarang kemungkinan termasuk banjir atau jerebu supaya peperiksaan itu (UPSR) dapat berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun, setakat ini kita lihat masalah jerebu masih dalam keadaan terkawal dan tidak akan mengganggu peperiksaan itu nanti,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada penuntut universiti awam (UA) dan swasta Padang Terap di Dewan UMNO Padang Terap, di sini, semalam.

Beliau berkata, kementerian juga memberi jaminan tidak akan berlaku kebocoran soalan peperiksaan UPSR seperti sebelum ini.

“Bagaimanapun, jika masih berlaku (kebocoran soalan) ia di luar kemampuan kementerian, namun Lembaga Peperiksaan sudah membuat persiapan rapi bagi memastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Pada tahun ini 452,721 calon akan menduduki peperiksaan UPSR 2016 yang bermula semalam, 5 hingga 8 September ini.

Terdahulu Mahdzir menyampaikan sumbangan kepada 312 penuntut yang menyambung pelajaran bermula sijil sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 11:21 AM