PEMAIN kedua-dua pasukan bergaduh.
PEMAIN kedua-dua pasukan bergaduh.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Dua pemain dilayangkan kad merah dan dua pegawai pasukan T-Team diperintah meninggalkan bangku simpanan, itulah senario yang mewarnai pertemuan dua pasukan bersaudara Terengganu dan T-Team pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.

Aksi tegang yang diperagakan pasukan ‘adik’ (T-Team) dan ‘abang’ (Terengganu) seharusnya dapat dielak sekiranya pemain beraksi mengikut taktikal yang dirancang jurulatih masing-masing dan bermain dengan semangat kesukanan tinggi.

Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya dengan emosi dan suasana ‘panas’ menguasai pemain yang hampir berlaku pergaduhan yang lebih parah, namun kebijaksanaan pengadil Mohd Nafeez Abd Wahab yang dibantu Mohd Yusri Mohamad, Fazrul Izwan Mohd Zin dan Hamdan Awang dapat menghalang daripada insiden yang lebih buruk berlaku.

Dalam perlawanan yang berakhir dengan kemenangan Terengganu 1-0 hasil jaringan Lutfulla Turaev pada minit ke-120 itu, pemain The Titans, Azalinullah Alias diperintah keluar padang pada minit ke-62 dan selang enam kemudian pertahanan skuad Penyu, Firdaus Faudzi juga diarah meninggalkan padang selepas dilayangkan kad merah.

Ketua jurulatih Terengganu Irfan Bakti Abu Salim berkata, insiden panas itu tidak sepatutnya berlaku, sebaliknya pemain kedua-dua pasukan perlu mempamerkan semangat kesukanan tinggi tanpa sebarang emosi.

“Saya tak nampak apa yang berlaku dan saya tidak masuk padang, sepatutnya kekasaran antara pemain Terengganu dan T-Team tidak berlaku apatah lagi dua pasukan adik abang itu berlatih di padang sebelah-menyebelah.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 10:59 AM