AFP

Southampton, United Kingdom: Louis van Gaal tetap menafikan Wayne Rooney dalam kemerosotan prestasi meskipun kapten Manchester United itu bakal berkunjung ke gelanggang Southampton hari ini dengan rekod tanpa menjaringkan gol dalam aksi Liga Perdana selama lima bulan.

Rooney yang baru-baru ini menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman England, gagal menyumbat gol dalam perlawanan Liga Perdana untuk United sejak minggu pertama April lalu.

Namun pengurus kelabnya lebih suka membicarakan tentang kejayaannya meledak hatrik dalam Liga Juara-Juara di Bruges bulan lalu daripada pencapaian buruknya dalam 10 perlawanan domestik.

“Dia menjaringkan gol menentang Brugge,” kata van Gaal. “Tidak ada bezanya antara Liga Perdana atau Liga Juara-Juara. Saya sangat gembira apabila kami menjaringkan banyak gol.

“Siapa yang menjaringkan gol tidak penting buat saya. Namun kami perlu menjaringkan banyak gol. Apabila kami banyak mendominasi permainan, kami perlu memenanginya.

“Dia memiliki rekod yang baik dalam menjaringkan gol. Anda boleh kira kesemua gol yang dihasilkannya. Dalam ingatan saya, Rooney banyak menjaringkan gol.

“Dia semakin menghampiri rekod penjaring terbanyak Liga Perdana jadi saya berharap dia akan memecahkan rekod itu tapi saya perlu tunggu dan lihat, seperti anda juga.”

Rooney setakat ini sudah mengumpul 185 gol dalam saingan Liga Perdana, kurang dua gol berbanding pemain di tangga kedua Andy Cole dan masih ketinggalan jauh dengan penjaring terbanyak sepanjang zaman Alan Shearer, 260.

Rooney, 29, perlu menyumbat 79 gol lagi untuk mengatasi Shearer namun harus diingat dalam lima musim lalu tonggak United itu hanya menghasilkan 79 gol, sesuatu yang mungkin mengecewakan van Gaal.

Rooney tidak beraksi ketika United menewaskan Liverpool minggu lalu akibat kecederaan hamstring namun dia dilihat tidak berdepan masalah untuk diturunkan menentang Southampton yang van Gaal jangka mempamerkan peningkatan seperti juara bertahan Chelsea.

“Rooney akan kembali, dia hanya mengalami kecederaan kecil dan kami sebelum ini tidak mahu mengambil risiko,” kata van Gaal. “Dia sudah menjalani rawatan dan latihan dan saya fikir dia akan beraksi dalam kesebelasan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:07 AM