ROONEY bersungguh-sungguh pamer prestasi terbaik sertai DC United. FOTO/AGENSI
ROONEY bersungguh-sungguh pamer prestasi terbaik sertai DC United. FOTO/AGENSI
Agensi

WASHINGTON: Ketika Liga Utama masih memperkatakan mengenai usaha lewat permainan Wayne Rooney yang membantu kemenangan DC United ke atas Orlando, bekas bintang England itu menegaskan dia tidak hadir ke Amerika Syarikat untuk bercuti.

“Saya faham orang mungkin kecewa kerana menyaksikan pemain hadir ke sini pada lewat karier mereka, tetapi bagi saya adalah penting untuk menunjukkan prestasi sebenar dan saya hadir ke sini bukan untuk bercuti,” kata pemain berusia 32 tahun itu.

“Saya berada di sini untuk bekerja dan saya masih mempunyai banyak masa untuk bercuti selepas turun beraksi,” katanya lagi.

Rooney memberi komitmen tinggi pada perlawanan itu apabila merampas bola daripada pemain Orlando, Will Johnson berpunca daripada hantaran jauh penjaga gol David Ousted ketika kedudukan semasa terikat 2-2.

Rooney dilihat bekerja keras merampas bola ketika Johnson mempunyai peluang terbuka untuk menjaringkan gol. Bekas bintang Manchester United itu kemudian melakukan hantaran jauh yang kemudian ditanduk oleh Luciano Acosta sekali gus memberi gol kemenangan kepada DC United pada masa kecederaan.    

“Menyaksikan pemain seperti Rooney bekerja keras memberi motivasi tambahan kepada kami semua,” kata Acosta.

Rooney yang juga penjaring terbanyak England dan United mengesahkan untuk beraksi di MLS pada Jun lalu selepas semusim di Everton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 8:25 AM