London: Wayne Rooney percaya Manchester United sudah berjaya menepati sasaran utama mereka musim ini dengan memastikan tempat dalam kelompok empat teratas selain mengintai peluang memenangi trofi musim depan.

Musim sulung Louis van Gaal sebagai pengendali di Old Trafford akan berakhir tanpa sebarang trofi, namun sekurang-kurangnya mereka berjaya kembali ke Liga Juara-Juara, memperbaiki catatan tangga ketujuh musim lalu.

Rooney yang bertugas sebagai kapten bagi musim pertama, percaya kejayaan kembali ke kancah bola sepak Eropah menjadikannya kempen yang berjaya.

“Impian utama kembali ke Liga Juara-Juara,” kata penyerang itu.

“Ia amat penting kerana setahun (tidak beraksi pada pertandingan itu) amat sukar buat kelab ini. Sasaran utama kami kembali ke Liga Juara-Juara dan kami berjaya melakukannya.

“Kini kami mahu tampil dan menang perlawanan terakhir musim dan musim depan kami akan berusaha memburu trofi. Kami mempunyai skuad mantap yang saya percaya boleh bersaing dan memenangi trofi tahun depan.”

Rooney yakin permulaan hambar United kerana mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan rejim ‘sukar’ Van Gaal, namun hasilnya jelas kelihatan pada hujung kempen. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 8:07 AM