Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) merekodkan Premium Tahunan Perniagaan baru Setara (NBAPE) sebanyak RM312 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2015 dengan pertumbuhan dua digit iaitu 28 peratus berbanding tempoh sama pada 2014.

PAMB turut melaporkan kenaikan kukuh sebanyak 27 peratus bagi jumlah ejen barunya dengan tenaga agensi kepada lebih 16,800 orang dan keseluruhannya, 1,728 ejen direkrut pada suku pertama berbanding 1,366 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PAMB Philip Seah berkata, pihaknya gembira dengan keputusan suku pertama tahun ini yang menggambarkan kekuatan produk dan tenaga pengagihan berterusan.

Katanya, hasil syarikat itu mencerminkan potensi pertumbuhan pasaran insurans hayat di Malaysia dengan 56 peratus daripada penduduk mempunyai insurans berbanding sasaran kebangsaan sebanyak 75 peratus menjelang 2020.

“Lebih ramai rakyat Malaysia semakin menyedari penting memiliki perlindungan kewangan sewajarnya dan kami terus mendengar keperluan pasaran untuk menyediakan penyelesaian kewangan relevan serta mampu memenuhi keperluan mereka.

“Awal tahun ini, PAMB melancarkan pelan insurans perubatan terkininya, PRUvalue med untuk menangani kebimbangan terhadap inflasi perubatan dan membantu melindungi rakyat dalam kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.

Seah berkata, merekrut tenaga baru masih perkara utama difokuskan PAMB dengan aspirasi untuk membina tenaga agensi sepenuh masa yang muda, berpendidikan dan profesional.

“Kami melancarkan Program Pembangunan Usahawan (EDP) tahun lalu untuk menarik individu yang berkualiti. Melalui EDP kami menyasarkan untuk membangunkan usahawan muda dan mempertingkatkan produktiviti mereka melalui latihan intensif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2015 @ 5:37 AM