GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menambah baik literasi kewangan dalam kalangan golongan muda, kata Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB).

Ini termasuk kesedaran lebih tinggi tentang instrumen kewangan yang lebih berisiko selain komunikasi jelas tentang manfaat melindungi pendapatan dan kesihatan bagi mencapai kehidupan lebih stabil apabila meningkat usia.

Ketua pegawai eksekutif PAMB Lim Eng Seong berkata, beliau percaya langkah-langkah ini akan dapat membantu menangani masalah yang dihadapi golongan muda Malaysia berkaitan kestabilan kewangan mereka pada masa depan.

"Pemerkasaan kewangan perlu bermula pada usia muda dan termasuk pembelajaran berterusan yang berkembang seiring dengan pertumbuhan dan peringkat kehidupan seseorang individu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi PAMB, Lim berkata program tanggungjawab korporat mereka disasarkan untuk mencapai agenda ini.

"Ini termasuk program pendidikan kewangan kami, Cha-Ching, Duit Right, dan Pendidikan Kewangan Dewasa (AFE), bagi memenuhi peringkat kehidupan yang berbeza, dari seawal usia tujuh tahun hingga dewasa.

"Kami juga ada PRUKasih Aman, penyelesaian insurans mikro bagi komuniti berpendapatan rendah untuk membantu mereka mencapai faedah dan perlindungan yang disertakan dengan pelan insurans," katanya.

PAMB hari ini mengeluarkan laporan oleh Economist Impact bertajuk "Seeking Future Financial Security: The challenges facing young Malaysians" (Mencari Jaminan Kewangan Pada Masa Depan: Cabaran dihadapi golongan muda Malaysia) yang mengkaji bagaimana rakyat Malaysia merentas kumpulan umur berbeza menabung untuk masa depan mereka dan cabaran yang dihadapi oleh golongan muda Malaysia untuk mencapai pengukuhan kewangan.

Laporan itu menunjukkan bahawa kewangan peribadi menjadi kebimbangan paling utama dalam kalangan kumpulan golongan muda rakyat Malaysia (berumur antara 25 dan 34).

Kumpulan ini adalah golongan dewasa muda yang mungkin berada di peringkat awal kerjaya namun menghadapi cabaran yang membataskan keupayaan mereka untuk menabung dan melabur pada masa hadapan, termasuk pertumbuhan gaji yang rendah, peningkatan kos sara hidup, perubahan dalam landskap pekerjaan dan literasi kewangan yang terhad.

Memandangkan penduduk Malaysia semakin menua, jaminan kewangan selepas persaraan adalah suatu yang membimbangkan memandangkan kurang separuh daripada rakyat Malaysia (48 peratus) mengaku berpuas hati dengan kedudukan kewangan mereka, yang kedua terendah dalam kalangan pasaran yang dikaji.

Walaupun lebih separuh (57 peratus) yakin mempunyai simpanan mencukupi untuk menampung kehidupan sehingga umur 80 tahun ke atas, namun ia adalah angka terendah yang dicatatkan.

Kaji selidik itu mendapati golongan muda Malaysia lebih cenderung untuk melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan, dengan 38 peratus dalam kumpulan umur 25 hingga 34 tahun menyatakan mereka bekerja lebih daripada satu pekerjaan berbanding 26 peratus daripada mereka yang berumur antara 35 hingga 44 tahun.

Dari segi simpanan, laporan itu mendapati hanya satu perempat (25 peratus) daripada mereka dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun mencarum kepada dana persaraan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), manakala 40 peratus rakyat Malaysia dalam lingkungan usia 45 hingga 55 berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 4:44 PM