Tokyo: Ketua pegawai eksekutif Nintendo meninggal dunia akibat kanser pada usia 55 tahun, kata syarikat itu dalam satu kenyataan, semalam.

Satoru Iwata, meninggal dunia Sabtu lalu dan penganalisis memberi amaran kematian mengejutnya itu mampu menggugat pelan pembaikpulihan syarikat itu yang terkenal degnan francais Super Mario, Donkey Kong dan Pokemon.

Iwata memainkan peranan dalam kejayaan konsol permainan Wii Nintendo yang membawa banyak keuntungan sebelum digugat dengan kehadiran permainan telefon pintar seterusnya menyebabkan syarikat itu terpaksa mengubah strategi.

Tahun lalu, Iwata mengumumkan dia sakit dan tidak menghadiri mesyuarat pemegang saham firma itu pada Jun 2014, namun ketika itu keadaan sebenar penyakitnya tidak diketahui. Dia kemudian mendedahkan terpaksa menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam saluran hempedu.

Dia kembali bekerja sebulan kemudian dan terus memainkan peranan penting, malah turut mengumumkan kewangan syarikat pada Mei lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 5:06 AM