LURE  Module mudahkan menangkap Pokemon.
LURE Module mudahkan menangkap Pokemon.
PELATIH Pokemon Go serbu Sunway Pyramid.
PELATIH Pokemon Go serbu Sunway Pyramid.
DEWAN Pokemon Go .
DEWAN Pokemon Go .
MERIAH dengan PokeStop.
MERIAH dengan PokeStop.
PERSATUAN Saudara Baru Muslim Singapura - Darul Arqam turut mengambil kesempatan berdakwah dengan Pokemon Go.
PERSATUAN Saudara Baru Muslim Singapura - Darul Arqam turut mengambil kesempatan berdakwah dengan Pokemon Go.
Afiq Hanif


Demam permainan berasaskan augmented reality (AR), Pokemon Go tidak semuanya menjurus kepada impak negatif.

Bagi yang pandai mengambil kesempatan, ia peluang perniagaan yang terbuka luas bagi menarik perhatian pelanggan seperti dilakukan pusat beli-belah terkemuka, Sunway Pyramid.

Baru-baru ini, pusat beli-belah itu membuka ‘Lure Module’ kepada pelatih Pokemon Go yang ingin menangkap karakter Pokemon kegemaran mereka.

Lure adalah sejenis perangkap yang akan menarik perhatian Pokemon untuk datang ke lokasi dipasang dan memudahkan pelatih Pokemon Go untuk menangkapnya dengan jumlah banyak.

Malah, Lure juga memungkinkan karakter Pokemon yang unik datang ke lokasi terbabit seterusnya menggembirakan pelatih Pokemon.

Sunway Pyramid menawarkan dua kali masa memasang Lure Module dalam sehari yang biasanya bertahan sehingga 30 minit.

Minggu lalu, pusat beli-belah terbabit memasang dua Lure Module di dua kawasan dan masa berbeza selama enam hari.

Ia bermakna, pelatih boleh menangkap Pokemon dalam jumlah yang banyak.

Tinjauan IT@Metro mendapati ia langkah bijak menarik perhatian pelatih Pokemon yang berpusu-pusu ke pusat beli-belah itu.

Bukan saja pulang dengan tangan kosong, ia menguntungkan peniaga terutama berkaitan makanan dan minuman yang menerima kehadiran pelatih ini singgah di kafe atau restoran mereka untuk menjamu selera sambil menangkap Pokemon.

Bagi Sunway Pyramid, kos untuk memasang Lure juga tidaklah tinggi. Lure Module boleh dibeli dengan PokeCoins serendah 100 token bagi satu Lure Module.

Syarikat pengasas Pokemon Go, Niantic Inc (Niantic) menjual 100 PokeCoins dengan harga RM3.99 manakala bagi 550 PokeCoins pula boleh dibeli dengan harga RM20.99.

Namun dengan jumlah sokongan pelatih Pokemon Go yang berpusu-pusu ke lokasi memburu Pokemon, ia ternyata berbaloi.

Satu lagi peluang untuk menjadikan lokasi perniagaan anda terkenal adalah dengan mendaftar sebagai PokeStop kepada Niantic secara percuma.

Jika Niantic bersetuju, lokasi anda boleh bertukar menjadi PokeStop yang membolehkan pelatih Pokemon Go mendapatkan Poke Ball, Potion, Super Lotion, Revive atau Egg.

Satu lagi lokasi yang menjadi ‘lubuk’ menangkap Pokemon terletak di Cyberjaya. Kafe Padi House misalnya mempunyai empat Poke Stop dalam jarak yang dekat.

Tanpa perlu bergerak, pelatih hanya perlu duduk saja di kafe memesan makanan dan minuman dan bermain Pokemon Go.

Mohd Zulfadzli Halim, 32, yang mengunjungi kafe terbabit berkata, ia lokasi yang sesuai untuk bermain Pokemon Go bersama keluarga.

“Sebelum makanan tiba, kami sekeluarga bermain Pokemon Go bersama-sama dan minat terbabit menambah komunikasi antara ahli keluarga,” katanya.

Azfar Faruqi Mohamad Idris, 27, pula kini memilih kafe terbabit sebagai lokasi makan tengah hari dan malam memandangkan ia dekat dengan rumahnya.

“Untuk meningkatkan tahap dalam Pokemon Go, saya perlu menangkap Pokemon dalam jumlah yang banyak jadi lokasi begini memang sesuai kepada pemain.

“Saya juga mengunjungi Sunway Pyramid baru-baru ini apabila mengetahui promosi Pokemon yang dianjurkan mereka,” kata aktivis belia terbabit.

Bagi Syafiq Hasnan, 27, beliau memilih lokasi yang mempunyai banyak PokeStop untuk menambah ciri dalam permainannya.

“Sudah tentu saya akan memilih lokasi yang menawarkan PokeBalls yang banyak memandangkan ia tidak memerlukan saya berjalan agak jauh,” katanya.

Permainan Pokemon Go bagus kerana ia menggalakkan masyarakat beriadah sambil bersenam kerana memerlukan pemain berjalan untuk mencari karakter berkenaan.

Persatuan Saudara Baru Muslim Singapura - Darul Arqam turut mengambil kesempatan berdakwah dengan Pokemon Go.

Selepas menyedari bangunannya turut tersenarai sebagai PokeStop, ia mengeluarkan kenyataan di laman sosial Facebook dengan pesanan kepada pelatih Muslim supaya tidak melupakan solat sebelum menangkap Pokemon.

“Mohon semua pelatih mengekalkan kebersihan dan mengurangkan bunyi bising apabila bermain kerana kami mempunyai kelas yang sedang berjalan,” kata kenyataan Facebook terbabit.

Ia juga menggalakkan pelatih Pokemon Go untuk mengunjungi kedai buku dan kaunter pertanyaan pusat terbabit jika ada yang ingin mendalami Islam dengan lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 11:58 AM