PERALTA (kiri) bantu Mexico tamat badi tujuh perlawanan tanpa menang.
PERALTA (kiri) bantu Mexico tamat badi tujuh perlawanan tanpa menang.
Reuters

Chicago: Penyerang Oribe Peralta menyumbat hatrik ketika Mexico menamatkan rentetan tujuh perlawanan tanpa menang dengan membelasah Cuba 6-0 pada perlawanan Piala Emas CONCACAF, semalam.

Trinidad & Tobago turut menang mudah dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C apabila membenam Guatemala 3-1.

Mexico, pemenang Piala Emas enam kali, menguasai sejak awal dan menjaringkan empat gol pada babak pertama di Soldier Field yang dipenuhi penonton.

Sukar diketahui sama ada keputusan itu menandakan kebangkitan Mexico memandangkan enam pemain skuad Cuba gagal mendapat visa memasuki Amerika Syarikat manakala seorang lagi dilaporkan berpaling tadah sebaik pasukan itu tiba di Chicago.

Jurulatih Cuba juga tidak mendapat visa.

Mexico tidak membuang masa menghukum Cuba apabila mendahului 4-0 pada rehat babak pertama menerusi dua gol Peralta, Carlos Vela dan Andres Guardado.

Peralta menyempurnakan hatriknya dengan gol kurang menarik pada minit ke-61 sebelum Giovani Dos Santos melengkapkan jaringan.

Mexico dijangka menerima ujian getir pada 16 Julai ini apabila mereka bertemu Trinidad, yang menjaringkan tiga gol dalam tempoh 25 minit pertama menentang Guatemala.

Sheldon Bateau meledak gol menerusi sepakan sudut pada minit ke-11 sebelum Cordell Cato menggandakan pendahuluan tiga minit kemudian berikutan kesilapan benteng pertahanan Guatemala.

Joevin Jones menjadikan kedudukan 3-0 tidak lama kemudian sebelum Carlos Ruiz membalas buat Guatemala pada babak kedua.

“Sejak awal, kami perlu menekan lawan, mengasak, menyekat Guatemala daripada mendapat rentak mereka dan secara asasnya kami menghukum kesilapan mereka dan meraih tiga gol awal,” kata penyerang Trinidad, Kenwyne Jones.

Piala Emas, yang dilangsungkan setiap dua tahun, adalah kejohanan serantau bagi Amerika Utara, Tengah dan Caribbean.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2015 @ 5:04 AM