Che Hasni (kiri) menunjukkan kenderaan yang tidak berlesen dan disita sambil diperhatikan Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara, Mejar Ahmad Zaidi Shuib (kanan) ketika Ops Tegas bagi membanteras kegiatan teksi sapu di LTAPP. FOTO Zulaikha Zainuzman

Oleh Rudy Syereme Sheriffudin

Bayan Lepas: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyita dua kereta dan sebuah van kerana disyaki menjalankan kegiatan kereta sapu tanpa lesen di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dalam operasi pagi tadi.

Ops Tegas itu membabitkan sepasukan 30 pegawai dan anggota SPAD Wilayah Utara serta lapan anggota dan pegawai trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi dari 7 hingga 11 pagi itu tertumpu di LTAPP selepas pihaknya menerima aduan mengenai kegiatan teksi sapu di situ.

"Hasilnya, sebuah kereta Proton Wira dan Proton Iswara serta van Toyota Hiace disita kerana disyaki menjalankan kegiatan mengambil penumpang tanpa permit.

"Pemandu ketiga-tiga kenderaan itu memberi alasan mengambil penumpang selepas mereka membayar pakej percutian, selain mengaku tidak menerima bayaran lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 3:08 PM