SATU daripada dua individu yang ditahan dalam Op Parkir Haram di kawasan Lebuh Raya Sultan Azlan Shah, di sini, kerana disyaki mengutip wang parkir secara haram. FOTO ihsan PDRM
SATU daripada dua individu yang ditahan dalam Op Parkir Haram di kawasan Lebuh Raya Sultan Azlan Shah, di sini, kerana disyaki mengutip wang parkir secara haram. FOTO ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Dua lelaki berusia 30-an ditahan ketika serbuan Op Parkir Haram di kawasan Lebuh Raya Sultan Azlan Shah Bayan Baru di sini, malam tadi.

Operasi itu dijalankan pegawai dan enam anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya sekitar jam 8 hingga 11 malam di kawasan berkenaan.

IPD Barat Daya menerusi kenyataan berkata, pihaknya mendapati beberapa individu menjalankan aktiviti mengutip caj parkir kepada orang ramai yang meletakkan kenderaan di tepi jalan.

Menurutnya, serbuan yang dibuat kemudian menahan dua individu kerana disyaki mengutip wang parkir secara haram.

"Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibawa ke balai bagi tindakan lanjut.

"Polis memantau aktiviti parkir haram setiap masa termasuk pada hujung minggu bagi mengekang aktiviti ini," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah boleh hubungi bilik gerakan IPD Barat Daya di talian 04-8664122; 0192238169 (Aplikasi Whatsapp) atau halaman Facebook (Messenger) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 2:29 PM