Bayan Lepas: Beberapa kawasan rendah di sekitar Zon Industri Bebas Bayan Lepas ditenggelami banjir kilat selepas hujan lebat hampir dua jam petang tadi.
Banjir kilat itu juga mengakibatkan kesesakan teruk sepanjang hampir tiga kilometer di Jalan Bayan Lepas selain puluhan kereta dan motosikal rosak dimasuki air.
Semua aliran trafik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) terpaksa dilencongkan ke jalan alternatif berikutan laluan menghala ke pusat bandar ditutup.
Turut mengalami banjir kilat ialah kawasan kampung di Teluk Kumbar membabitkan lebih 10 rumah
Sehingga jam 9.30 malam, kesesakan masih berlaku dan laluan masih ditutup bagi kenderaan ringan.