CHE Hasni   menunjukkan sebahagian kenderaan   disita dalam  Ops Parasit   di KLIA dan klia2, kelmarin.
CHE Hasni menunjukkan sebahagian kenderaan disita dalam Ops Parasit di KLIA dan klia2, kelmarin.

Sepang: Risikan dan intipan selama empat hari oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sekitar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), di sini berbaloi apabila sembilan pengendali kereta sapu dan empat ulat teksi diberkas dalam operasi bersepadu, kelmarin.

Sembilan kereta persendirian turut disita untuk siasatan, manakala kenderaan limosin hotel diberi amaran kerana mengambil penumpang dari lapangan terbang berkenaan.

Operasi bersepadu dikenali Ops Parasit itu bermula jam 5 pagi kelmarin disertai 70 pegawai dan anggota termasuk 47 pegawai penguat kuasa SPAD, 18 kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan enam anggota polis.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, daripada siasatan dilakukan, empat ulat teksi dan seorang pengendali kereta sapu berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine dan semuanya diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya.

“Membanteras ulat tiket dan kegiatan kereta sapu bukan perkara mudah, malah anggota kami menyamar sebagai penumpang; meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) dan melakukan risikan dan intipan rapi selama beberapa hari.

“Bagi kesalahan kereta sapu, jika sabit kesalahan pemilik kenderaan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada sidang media sejurus Ops Parasit di KLIA, di sini, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 6:10 AM