Antara motosikal yang disyaki dicuri remaja lelaki berusia 15 tahun di sekitar daerah Barat Daya. FOTO IHSAN PDRM
Antara motosikal yang disyaki dicuri remaja lelaki berusia 15 tahun di sekitar daerah Barat Daya. FOTO IHSAN PDRM
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: 'Keseronokan' remaja lelaki berusia 15 tahun melaram motosikal curi terbantut apabila dia ditahan polis, di sini, Sabtu lalu.

Penahanan remaja terbabit dilakukan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya susulan laporan kehilangan beberapa motosikal di daerah Barat Daya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan mendapati remaja berkenaan disyaki terbabit dalam tiga kes curi motosikal.

"Tangkapan dibuat susulan tiga kes kecurian motosikal yang dilaporkan di Teluk Kumbar dan Bayan Lepas sejak 9 Januari lalu.

"Siasatan juga mendapati suspek mengaku terbabit dalam kecurian berkenaan dan melakukannya bagi kegunaan sendiri," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kamarul berkata, dua daripada motosikal yang dicuri itu adalah jenis Y15ZR dan satu Yamaha Ego Avantis.

Menurutnya, remaja terbabit direman tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 April 2024 @ 12:14 PM