FOTO ihsan FIH
FOTO ihsan FIH
Oleh Radzi Wahab di Antwerp


Antwerp: Selangkah lagi. Malaysia kini hanya perlu menewaskan Ireland Ahad ini untuk memastikan tempat kelima dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, sekali gus menghidupkan kembali sisa-sisa peluang untuk ke Olimpik Rio.

Selepas menewaskan Perancis 4-1 dalam klasifikasi ke-5/8 di Stadium KHC Dragons sebentar tadi, peluang pasukan negara untuk menjadi pasukan simpanan ke Brazil, semakin cerah jika dapat menundukkan Ireland nanti.

Ireland menang 1-0 ke atas Pakistan dalam satu lagi perlawanan klasifikasi untuk menolak pasukan dari Asia untuk bertemu Perancis

bagi penentuan tempat ke-7/8.

Malaysia dan Perancis memulakan aksi dengan penuh berhati-hati dengan tiada pasukan yang mempunyai kelebihan dalam 15 minit pertama.

Bagaimanapun masing-masing meningkatkan aksi pada suku kedua dengan Jean-Laurent Kieffer meletakkan Perancis mendahului 1-0 pada minit ke-18 selepas mendapat lorongan Hugo Genestet.

Kegembiraan Perancis tidak lama apabila penyerang muda Muhamad Haziq Samsul menyamakan kedudukan seminit kemudian selepas memanfaatkan peluang kedua apabila pukulan pertamanya ditampan penjaga gol Perancis, Martin Zylbermann.

Malaysia memulakan aksi selepas rehat dengan bertenaga apabila Meor Azwan Hassan meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-37 selepas mendapat lorongan dari sebelah kiri. Bola tampanannya terkena Zylbermann sebelum melambung ke palang dan melantun masuk.

Faizal Saari menjadikan kedudukan lebih selesa buat Speedy Tigers apabila memanfaatkan sudut penalti kedua berturut-turut dalam tempoh seminit untuk membolehkan Malaysia mendahului 3-1 pada minit ke-47.

Malaysia menyukarkan Perancis untuk mengejar apabila Muhamad Razie Rahim menjadikan kedudukan 4-1 selepas memanfaatkan penalti stroke selepas Zylbermann menjatuhkan Faizal dalam kawasan D pada minit ke-57.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 11:20 PM