PEMAIN Belgium meraihkan gol kedua. FOTO FIH
PEMAIN Belgium meraihkan gol kedua. FOTO FIH
Oleh Mohd Radzi Wahab

Antwerp (Belgium): Kehilangan tumpuan dalam masa seminit menyaksikan Malaysia gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas 0-2 ketika menentang pasukan keempat dunia Belgium dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Stadium KHC Dragons, awal pagi tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara yang menerajui kedudukan sebelum perlawanan berkenaan dengan enam mata kini menduduki tempat kedua. Belgium pula mengambil alih teraju Kumpulan B dengan tujuh mata.

Kini skuad Speedy Tigers perlu menewaskan Britain pada perlawanan terakhir kumpulan pada Ahad ini jika ingin mengekalkan kedudukan di tangga kedua.

Dalam perlawanan di Brasschaart itu, kedua-dua pasukan bermula dengan berhati-hati apabila suku pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tidak mempunyai peluang terbaik untuk menjaringkan gol.

Bagaimanapun Belgium bangkit mengasak pada suku kedua dengan penjaga gol Roslan Jamaluddin dipaksa bekerja keras menyelamatkan beberapa keadaan berbahaya, termasuk pukulan sudut penalti pertama perlawanan itu pada minit ke-28, apabila ketangkasannya menafikan pukulan Cosyns Tanguy.

Selepas rehat Belgium meneruskan rentak menyerang dengan menjaringkan dua gol pantas. Dorian Thiery menjaringkan gol pertama tuan rumah apabila dalam satu gerakan balas pantas, bola tampanan Roslan jatuh ke laluannya untuk membolehkannya menolak mudah pada minit ke-38.

Simon Gougnard menjadikan kedudukan lebih selesa buat Belgium pada pada minit ke-39 selepas memanfaat bola yang melantun dari palang gol.

Malaysia yang mempunyai peluang merapatkan jurang gagal memanfaatkan pukulan sudut penalti tunggal diperoleh dalam perlawanan itu apabila pukulan Muhamad Razie Rahim tepat ke arah penjaga gol Belgium Vincent Vanasch pada minit ke-50.

Dalam perlawanan terdahulu, Ireland membelasah China 6-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 2:27 AM