PEMAIN Malaysia, Shahmie Irfan Suhaimi cuba dikawal dua pemain Mesir. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEMAIN Malaysia, Shahmie Irfan Suhaimi cuba dikawal dua pemain Mesir. FOTO AIZUDDIN SAAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Young Tigers menepati ramalan untuk melangkah ke perlawanan seterusnya selepas menewaskan Mesir 4-1 dalam perlawanan klasifikasi sembilan hingga ke 16 di Piala Dunia Remaja, sebentar tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu seharusnya menyaksikan tuan rumah berpesta jaringan selepas memperoleh 16 pukulan sudut penalti sepanjang permainan namun Malaysia menghukum pasukan sendiri kerana hanya berjaya menyempurnakan tiga jaringan sahaja.

Pujian juga harus diberikan kepada penjaga gol Mesir, Mahmoud Hussin apabila bertindak cemerlang untuk menggagalkan deretan peluang Malaysia menerusi pukulan sudut penalti.

Skuad kendalian Muhamad Amin Rahim lebih menguasai permainan di separuh masa pertama dan berjaya mencipta banyak peluang namun gagal dimanfaatkan dengan baik oleh pemain negara.

Mesir yang sekali sekali hadir menguji gawang Malaysia dilihat hampir mendapatkan jaringan namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Mohamad Rafaizul.

Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Osman Harris menerusi gol padang sebelum ketua pasukan Faris Harizan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-16 untuk menutup separuh masa dengan 2-0.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus meningkatkan serangan dan cuba mendapatkan jaringan tambahan namun dilihat agak sukar untuk mereka memecah barisan pertahanan Mesir.

Malaysia turut diberikan lima pukulan sudut penalti berturut-turut di suku ketiga tetapi masih gagal mendapatkan jaringan berkenaan.

Bagaimanapun, Muhammad Danish Aiman berjaya memecah kebuntuan berkenaan apabila menjaringkan gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan Che Nur Aqilrullah minit ke-50.

Anak buah Amin terus diberikan peluang untuk menambah jaringan tetapi tetapi gagal menterjemahkan jaringan berkenaan meskipun peroleh tujuh pukulan sudut penalti berturut-turut di suku keempat.

Skuad bimbingan Moustafa Khalil yang lebih banyak bertahan di separuh masa kedua berjaya mendapatkan jaringan sagu hati mereka menerusi Basel Abdelmonen pada minit ke-59 melalui gol padang.

Malaysia bakal bertemu pemenang antara Belgium atau Kanada dalam perlawanan klasifikasi sembilan hingga 12 yang akan berlangsung pada Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 11:40 AM