PEMAIN Ireland meraikan gol kedua oleh Peter Caruth. FOTO FIH
PEMAIN Ireland meraikan gol kedua oleh Peter Caruth. FOTO FIH
Oleh Mohd Radzi Wahab

Antwerp: Ireland jelas belajar daripada kekalahan pertama apabila bangkit menewaskan Malaysia 4-1 untuk menduduki tempat kelima dalam saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia, malam tadi.

Kemenangan itu menghapuskan kekecewaan mereka apabila tewas 2-4 di peringkat kumpulan, sekali gus bakal memberikan ruang untuk Ireland beraksi buat kali pertama dalam sejarah Olimpik era modern sejak kali terakhir melakukannya pada 1908 apabila memenangi perak.

Dalam aksi peringkat kumpulan, Malaysia menang 4-2.

Ireland yang jelas lebih laparkan kemenangan menjaringkan dua gol dalam tempoh 15 minit menerusi Kyle Good dan Peter Caruth pada minit ke-5 dan 13 sebelum gol Alan Sothern dan Michael Darling selepas rehat (m-39) dan Michael Darling (m-59) memastikan kemenangan mutlak Green Machine.

Malaysia memperoleh gol sagu hati pada minit ke-55 menerusi Faiz Helmi Jali, tapi jaringan itu tidak membawa sebarang makna.

Berikutan kekalahan itu, Malaysia masih menyimpan sekelumit harapan ke Rio dengan menjadi pasukan simpanan kelima di belakang Kanada, Sepanyol, New Zealand dan Ireland.

Terdahulu, dalam perlawanan klasifikasi ke-7/8, Perancis menewaskan Pakistan 2-1.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 9:04 PM