AKSI antara Malaysia dan Oman di Muscat hari ini. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Antarabangsa
AKSI antara Malaysia dan Oman di Muscat hari ini. FOTO Ihsan Persekutuan Hoki Antarabangsa
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki 5s lelaki negara terlepas peluang untuk mengutip mata penuh selepas seri 3-3 dengan tuan rumah, Oman pada aksi pertama Kumpulan D, Kejohanan FIH Hoki 5s Piala Dunia 2024 yang berlangsung di Muscat, hari ini.

Dua daripada tiga gol Malaysia disumbangkan oleh kapten pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook sementara satu lagi gol dijaringkan oleh Syarman Mat Tee.

Akhimullah berkata, dia serta rakan sepasukannya sudah bermain dengan baik namun penyudah yang kurang sempurna menyebabkan Malaysia terlepas peluang untuk menjaringkan gol.

"Kami terlepas peluang menjaringkan gol terutamanya menerusi kelebihan challenge. Kami perlu memperbaiki kesilapan ini serta bangkit kembali pada aksi seterusnya," katanya.

Aksi suku pertama dimulakan dengan Malaysia dihadiahkan dengan kelebihan challenge pada minit ke-3 namun percubaan Syarman Mat Tee untuk meledak gol pertama dinafikan oleh penjaga gol Oman.

Bagaimanapun minit ke-12 Syarman berjaya menebus kehampaan kelebihan challenge dengan menjaringkan gol pertama selepas bola lorongan Muhammad Noor Firdaus Rosdi berjaya ditolak masuk Syarman untuk Malaysia di depan.

Minit ke-12, giliran Akhimullah menjarakkan kedudukan menerusi jaringan padang, namun seminit kemudian Oman kembali mengejar, merapatkan kedudukan hasil jaringan Fahad Al Lawati, sekali gus separuh masa pertama berakhir dengan Malaysia di depan 2-1.

Seminit selepas separuh masa kedua bersambung, kesilapan penjaga gol Oman ketika cuba menyelamatkan percubaan Malaysia menyebabkan skuad negara dihadiahkan penalti stroke dan Akhimullah menjaringkan gol ketiga.

Bagaimanapun pada minit ke-22, Oman terus merapatkan kedudukan 2-3, apabila Aiman Madit memanfaatkan peluang yang dimiliki daripada sudut sebelah kanan gol Malaysia dan minit ke-25, gol penyamaan Oman hadir menerusi Khalid Al Shaibi, yang sekali gus menutup perlawanan dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Malaysia akan turun untuk aksi kedua Kumpulan D jam 12:30 tengah malam ini bertemu Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 7:34 PM