Kuala Terengganu: Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) mungkin kehilangan khidmat Sabastian Duclos berikutan jurulatih itu dilaporkan akan meninggalkan pasukan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Farhan Abdul Wahab, bagaimanapun berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang surat rasmi daripada jurulatih berasal dari Itali itu berhubung perkara tersebut.

“Kami hanya dimaklumkan secara lisan (Duclos) hendak berhenti, tetapi beliau belum mengemukakan sebarang surat pemberhentian setakat ini,” katanya.

Sebagai alternatif, Farhan berkata pihaknya akan mencari jurulatih baru dari luar negara sebagai pengganti, jika Duclos benar-benar berhasrat untuk berhenti daripada membimbing TSG.

“Kami sekarang tidak dapat menghubunginya (Duclos) kerana dia berada di luar negara,” katanya.

Beliau berkata latihan pasukan TSG berjalan seperti biasa walaupun tanpa Duclos.

Farhan berkata kejohanan terdekat yang akan disertai TSG ialah Jelajah Singkarak Sumatera Barat, Indonesia pada Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan Terengganu akan meraikan pelumba yang berjaya memenangi pingat emas dan gangsa pada Sukan SEA Singapura esok.

Beliau berkata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dijangka hadir pada majlis itu.

Pada Sukan SEA Singapura baru-baru ini, pelumba TSG yang mewakili negara menerusi Harris Salleh dan Anuar Manan, masing-masing memenangi pingat emas dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 8:57 AM